Pisau lipat dengan kesan darah diterima oleh Reyes Maroto. foto Reuters

MADRID – Menteri Perindustrian, Perdagangan dan Pelancongan Sepanyol, Reyes Maroto mendakwa menerima kiriman surat berisi pisau dengan kesan darah.

Maroto menerima pisau itu hanya beberapa hari setelah Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska, bekas Wakil Perdana Menteri Pablo Iglesias dan Maria Gamez, Ketua Pengawal Awam Sepanyol, masing-masing menerima bungkusan berisi surat-surat ancaman dan empat butir peluru.

Maroto yang ditemui di luar Parlimen menyifatkan ancaman yang diterimanya serius.

“Ini serius…kita sewajarnya rasa bimbang,” ujarnya kepada wartawan.

Menurutnya, polis sedang menyiasat siapakah dalang yang menghantar bungkusan tersebut.

Tegas Maroto, walapun mereka menerima ancaman tersebut, tetapi ia tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk mempertahankan demokrasi.

Sebaliknya, katanya, kebencian dan ancaman yang dibuat tidak akan menutup mulut mereka.

Perdana Menteri Sosialis Sepanyol, Pedro Sanchez mengutuk ancaman yang diterima menerusi ciapan beliau.

“Cukup! Kami tidak akan membiarkan ini. Kami tidak akan membiarkan kebencian mengambil alih kehidupan di Sepanyol,” tulisnya.

Ancaman telah diterima dalam konteks kempen pilihan raya yang semakin getir menjelang pilihan raya 4 Mei ini untuk pemerintah daerah komuniti Madrid.

Pada hari Jumaat, Iglesias, yang mengundurkan diri daripada jawatan kabinetnya untuk menjadi calon parti Unidas Podemosnya, keluar dari perbahasan pilihan raya di stesen radio Cadena SER setelah Rocio Monesterio, calon paling kanan parti Vox menolak untuk mengutuk ancaman kematian yang diterimanya.

Monesterio sebaliknya menyatakan surat itu palsu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast