Aung Kaung Mann.

KUALA LUMPUR – Penyerang prolifik skuad kebangsaan Myanmar, Aung Kaung Mann bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila dia mengesahkan akan menyertai Sri Pahang pada bulan depan bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu.

Menerusi Instagram miliknya, bekas pemain Ayeyawady United itu kini berada di sini untuk menjalani proses kuarantin sebelum dibenarkan menyertai sesi latihan pasukan di Kuantan.
Mempunyai ketinggian 183 sentimeter, Kaung Mann sebelum ini mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.
Dalam temasya itu, Kaung Mann menjaringkan lima gol dan membantu negaranya melangkah ke peringkat separuh akhir serta membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Kemboja.

Kaung Mann turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan Myanmar bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.

Musim 2020, Kaung Mann beraksi dengan beberapa kelab Thailand seperti Trat FC, Lampang dan Khonkae United.

Dia melakukan 16 penampilan dalam saingan Thai League 2 dan menjaringkan lima gol.

Sementara itu, Sri Pahang kini mengalami kemerosotan prestasi dalam 10 perlawanan Liga Super 2021 yang memaksa skuad itu melakukan rombakan dengan menukarkan dua penyerang import mereka iaitu Yevhen Bokashivili dan Pedro Henrique apabila gagal menunjukkan persembahan membanggakan. – MalaysiaGazette