KUALA LUMPUR – Populasi Tapir Malaya kini kian terancam kerana kehilangan habitat, fragmentasi hutan serta menjadi mangsa jerat dan kemalangan jalan raya.
Sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, sebanyak 92 ekor Tapir Malaya telah menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, tahun lalu sahaja, sebanyak 24 ekor Tapir Malaya dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya dan trend ini semakin membimbangkan.
Menurutnya, bagi meningkat populasi Tapir Malaya di Semenanjung Malaysia, antara usaha yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) adalah program pembiakan dalam kurungan di Pusat Konservasi
Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor untuk dilepaskan ke habitat semula jadi.
Buat masa ini, terdapat sebanyak 11 ekor Tapir Malaya di PKHL Sungai Dusun dengan purata kelahiran anak seekor setahun.
”Di samping itu, Jabatan Perhilitan mengadakan kerjasama strategik konservasi Tapir Malaya dengan Nagasaki Biopark, Jepun,” katanya sempena sambutan Hari Tapir Sedunia hari ini.
Tapir Malaya merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Di peringkat antarabangsa, Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam alam senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.
Justeru, Shamsul Anuar berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perhilitan komited untuk mempergiatkan konservasi Tapir Malaya secara in-situ dan ex-situ bagi memastikan kelangsungan spesies unik ini.
”Namun, konservasi Tapir Malaya bukanlah menjadi tugas KeTSA dan Jabatan Perhilitan semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua,” ujarnya sambil menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam memulihara Tapir Malaya. – MalaysiaGazette