SRC International Switzerland funds swiss bank Former Prime Minister, Datuk Seri Najib Tun Razak leaves the Palace of Justice after the hearing of his appeal to strike off conviction over the misappropriation of funds belonging to SRC International Sdn Bhd. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 14 APRIL 2021.
Najib Razak

PUTRAJAYA – Hari ini genap hari ke-13 kes rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) penyewelengan dana RM42 juta melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di  Mahkamah Rayuan.

Najib tiba sekitar jam 8.50 pagi seperti kebiasaan berpakaian kemas ditemani oleh pegawai serta beberapa penyokong sambil senyum kepada pihak media.

Pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri V. Sithambaram dijangka menyambung hujah pagi ini selama setengah jam sebelum pembelaan diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyambung balas hujah.

Sithambaram ketika berhujah Khamis lepas menegaskan, serangan oleh pembelaan Najib dalam dan luar mahkamah terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebenarnya tidak wajar sama sekali.

Mohd Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan membuat keputusan kes penyewelengan dan salah guna kuasa melibatkan Najib.

Kata Sithambaram, sememangnya tuduhan pembelaan Mohd Nazlan telah membuat kesilapan dalam keputusan SRC tahun lalu malah tidak cekap itu sangat tidak berasas.

Selain itu, kata Sithambaram, tidak ada apa-apa kerugian bagi pihak Najib dalam perbicaraan kes SRC ini kerana Mohd Nazlan hanya memberikan poin utama apabila beliau mengarahkan Ahli Parlimen Pekan membela diri.

Jelas Sithambaram, di bawah undang-undang, hakim bicara tidak perlu memberi alasan dalam keputusan lisannya apabila mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri.

“Pendapat yang menyatakan perayu (Najib) telah diprejudis  kerana tidak dapat membentangkan pembelaannya dengan betul atau mengemukakan alasan yang hilang itu, adalah tidak berasas,” katanya di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

‪Keputusan disampaikan Mohd Nazlan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Prosiding bersambung ketika ini dengan Sithambaram sambung hujahan akhirnya. – MalaysiaGazette