ANKARA – Turki akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara mulai hari Khamis ini sehingga 17 Mei dalam usaha mengekang jangkitan dan kematian akibat koronavirus, kata presidennta, Tayyip Erdogan.

Negara ini merekodkan sebanyak 37,312 jangkitan baharu koronavirus dengan 353 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut data kementerian kesihatan.

Angka itu menunjukkan penurunan ketara berbanding pertengahan April tetapi masih menjadi kes keempat tertinggi di dunia dan paling teruk berdasarkan per kapita penduduk.

Mengumumkan langkah-langkah baharu itu selepas mesyuarat kabinet, Erdogan menegaskan semua perjalanan antara bandar memerlukan kebenaran rasmi.

Semua sekolah akan menutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian dan had kapasiti yang ketat akan dikenakan untuk pengguna pengangkutan awam.

”Penduduk Turki harus tinggal di dalam rumah kecuali untuk perjalanan membeli-belah yang penting dan rawatan perubatan segera. Kumpulan tertentu termasuk pekerja perkhidmatan kecemasan dan pekerja di sektor makanan dan pembuatan akan dikecualikan,” kata Erdogan.

Sekatan baharu ini berkuat kuasa mulai 1600 GMT pada hari Khamis dan akan berakhir pada 0200 GMT pada 17 Mei.

“Pada saat Eropah memasuki fasa pembukaan kembali, kita perlu dengan cepat mengurangkan jumlah kes kita di bawah 5,000 agar keadaan dapat dikawal. Jika tidak, kita pasti akan terpaksa membiaya kos dalam setiap aspek dari pelancongan hingga perdagangan dan pendidikan.

”Langkah-langkah itu akan dilaksanakan “dengan cara yang paling ketat untuk memastikan kita mendapat hasil yang baik,” tambahnya.

Dua minggu yang lalu Turki mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam dari jam 7 malam hingga jam 5 pagi dan juga sekatan sepenuhnya pada hujung minggu setelah kes melonjak ke tahap tertinggi, namun langkah-langkah tersebut terbukti tidak mencukupi untuk mengendalikan pandemik.

Jumlah kes harian di Turki memuncak melepasi 63,000 pada 16 April sebelum turun mendadak di bawah 39,000 pada hari Ahad.

Jumlah kes kematian di Turki sebanyak 38,711 pada hari Isnin, menurut data kementerian kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast