Ronnie Liu.
KLANG – Perpecahan dalam DAP bukan disebabkan “pengaruh luar”, tetapi keadaan itu diakibatkan pentadbiran ala feudal yang membawa kepada kelahiran kumpulan elit dalam parti, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek di Selangor berkata, situasi tersebut juga mewujudkan perbezaan pendapat yang besar dalam DAP.

Kenyataan Ronnie itu seakan-akan menyasarkan veteran parti, Lim Kit Siang yang  menyeru DAP terus menyokong Pakatan Harapan (PH) dan mempertahankan parti daripada pengaruh luar yang cuba memecah dan memusnah DAP.

Dalam satu hantaran Facebook yang dipetik Sinchew Daily, Ronnie berkata, 2008 merupakan masa kebangkitan kumpulan elit dalam parti.

“Golongan elit ini tidak pernah merasakan air mata, titik peluh dan kesusahan yang dialami ahli akar umbi, tetapi mereka menikmati hasil usaha orang lain.

“Kumpulan feudal yang berkuasa telah menambahkan rasa tidak puas hati. Mereka dipelihara dalam ‘kabinet dapur’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menasihatkan pemimpin cara bermain kuasa,” kata Ronnie.

Menurutnya, kumpulan elit memegang jawatan penting dalam kerajaan semasa DAP berkuasa, sedangkan pemimpin yang berusaha sebelum ini telah diabaikan.

Katanya, pemimpin yang diketepikan termasuk Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang menjadi Duta Khas ke China tetapi tidak bertaraf menteri; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang sekadar menjadi timbalan menteri serta Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang hanya menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Keadaan ini adalah satu tamparan kuat buat ahli akar umbi kerana sistem hierarki dalam parti tidak dihormati,” katanya.

Tegasnya, kumpulan akar umbi banyak berkorban dengan berdepan gas pemedih mata, baton polis dan penahanan.

Menurutnya, pengorbanan itu dan slogan berubah juga membawa kepada kemenangan pertama DAP pada 2008 apabila berjaya mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Ujarnya, pemimpin DAP justeru tidak harus takut untuk berubah dalam pemilihan parti. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.