KLUANG – Siapa menyangka seorang lelaki kurang upaya (OKU) fizikal mampu meraih pendapatan lumayan dengan mengusahakan perniagaan ketupat mini segera sejak 2016.
Tidak menjadikan alasan kekurangan diri untuk berpeluk tubuh, sebaliknya Muhamad Safar, 27, mengusahakan perniagaan itu bersama-sama kakaknya, Nor Azlia, 36, dan ibu mereka Hattyca Karmon, 58.
Nor Azlia berkata, idea untuk melakukan perniagaan itu terhasil selepas ibu mereka memintanya mencarikan pekerjaan bersesuaian untuk adiknya yang kudung kedua belah tangan sejak lahir.
“Ibu mahu kami mencari jalan bagi membolehkan Muhamad menjana duit sendiri kerana dia tidak boleh bekerja di luar atas sebab kekurangannya itu.
“Dari situ kami mendapat idea memulakan perniagaan ketupat mini tradisi yang kini dikenali sebagai nama Ketupat Mini Muhammad.
“Kami bermula sejak 2016 dan segala proses termasuk pembungkusan dilakukan secara manual yang memakan masa namun sejak tahun lalu kami menerima bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Parit Haji Hashim Simpang Renggam di sini.
Katanya, bantuan daripada pihak RISDA itu berupa mesin pembungkusan elektrik dan reka bentuk bagi plastik ketupat mini.
Beliau juga bersyukur kerana produk mereka diterima baik masyarakat setempat dan dipasarkan melalui kedai-kedai runcit berhampiran.
Menurutnya, ketupat mini itu turut ditempah sebagai cenderahati untuk majlis keraian seperti perkahwinan dan pertunangan.
“Alhamdulillah, walaupun ketupat sinonim dengan hari perayaan Aidilfitri dan Aidiladha namun kami dapat menjualnya sepanjang tahun,” katanya.
Nor Azlia menambah, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ketupat berkenaan yang mengandungi 30 biji setiap bungkusan boleh menghubungi pihaknya di talian 0137989492 atau melayari halaman Facebook Ketupat Mini Tradisi.
“Harga ketupat mini ini adalah sebanyak RM7 sebungkus dan mereka yang berminat juga boleh menghubungi ejen-ejen kami di sekitar Simpang Renggam.
“Kami juga menawarkan perkhidmatan pengeposan ketupat mini ini ke seluruh negara sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara sejak Mac lalu.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan kami tidak boleh keluar dari rumah termasuk menghantar ke kedai runcit.
“Namun Alhamdullillah kami banyak menerima tempahan secara dalam talian,” katanya. -MalaysiaGazette