PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berusaha mendapatkan kembali dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM3.6 bilion di Switzerland.

Dana  itu merupakan sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC telah dibekukan oleh kerajaan Switzerland kerana dikatakan terlibat dengan pengubahan wang haram.

Peguambela Najib, Farhan Read ketika berhujah pada prosiding rayuan memberitahu, tidak benar dakwaan  kononnya Najib yang ketika itu adalah Perdana Menteri ke-6 tidak mahu berusaha mendapatkan kembali wang tersebut.

“Sebenarnya Najib dan Kementerian Kewangan (MOF) ketika itu telah memulakan usaha menyiasat sekaligus mendapatkan kembali wang berbilion yang dibekukan oleh kerajaan Switzerland.

“Usaha itu telah dilakukan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani seperti yang ditelah diarahkan oleh Najib sekitar 2016 malah perkara ini pernah diakui sendiri bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Walaupun Najib tidak mempunyai kepentingan dalam SRC namun beliau telah melakukan usaha ini sebenarnya,” katanya pada prosiding masuk hari ke-14 hari ini.

Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bersama peguamnya di mahkamah.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Minggu lepas, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berhujah dalam kes rayuan yang sama yang Najib tidak pergi ke Switzerland untuk membawa balik dana milik SRC itu.

Malah Najib didakwanya tidak menyelesaikan perkara itu, sehingga waktu beliau tidak lagi memegang jawatan perdana menteri.

Sithambaram berkata, Ahmad Husni dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu Najib enggan membenarkan delegasi kerajaan untuk berlepas ke Switzerland bagi memberi penjelasan mengenai wang yang dibekukan oleh kerajaan negara itu.

Bagaimanapun ketika membela diri di Mahkamah Tinggi sebelum ini, Najib pernah mendedahkan beliau tidak memberi kebenaran kepada Ahmah Husni untuk pergi ke Switzerland kerana Ahmad Husni tidak mempunyai “rancangan yang tersusun” bagi mendapatkan kembali dana itu.

Dakwa Najib, Ahmad Husni juga tidak membuat sebarang permohonan rasmi mengenainya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa, melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang dalam rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan SRC.

Prosiding akan bersambung Khamis hadapan dengan pasukan pembelaan memohon masa tambahan menghabiskan untuk menghabiskan hujah mereka.

Sebelum ini hakim Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berjalan selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis, iaitu pada 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April namun hujah pendakwaan dan pembelaan telah mengambil masa lebih dari sepatutnya. – MalaysiaGazette