Rodgers dan Fofona

LONDON – Pemain pertahanan Leicester City, Wesley Fofana, terharu dan berterima kasih kepada Crystal Palace dan penjaga golnya, Vicente Guaita kerana membenarkannya berbuka puasa ketika berhadapan dengan pasukan itu.

Guaita menunggu seketika untuk mengambil sepakan selepas setengah jam perlawanan berlangsung bagi membolehkan Fofana pergi ke tepi padang dan mengambil sedikit minuman sebelum kembali semula meneruskan perlawanan.

Menurut Fofana dalam akaun Twitter, tolak ansur dan pemahaman itu menjadikan bola sepak itu indah.

Fofana beraksi sepenuh masa menyaksikan Leicester menewaskan Palace 2-1.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers berkata, Fofana merupakan pemain yang berpuasa sepanjang Ramadan walaupun beliau berlatih dan beraksi dalam setiap perlawanan.

“Saya rasa ia satu suasana menarik, kalau kamu melihat persembahan dia pada aksi separuh akhir Piala FA minggu lalu, dia langsung tidak makan kerana berpuasa dan berbuka menjelang lewat petang.

“Dalam aksi menentang West Brom pada jam 8 malam, dia langsung tidak makan atau minum namun tetap mempamerkan aksi bertenaga tanpa penat.

“Ketika itu saya risau dan pernah terfikir untuk keluarkan dia dari padang dan cuba mendapatkan sedikit makanan untuk dia berbuka puasa di tepi padang semasa perlawanan berlangsung.

“Saya bekerja dengan ramai pemain yang mempunyai ciri keagamaan seumpama yang sebenarnya memberi kekuatan luar biasa untuk mereka,” kata Rodgers yang kagum dengan kejujuran dan disiplin puasa Fofona. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast