Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di sembilan lokaliti di Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan mulai esok hingga 12 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua daripada lokaliti itu membabitkan Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) di Machang, Kelantan serta Kampung Bangkahulu di Gemas, Negeri Sembilan.

Menurutnya, tujuh lokaliti di Pahang terdiri daripada Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau di Raub, Pahang.

“Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di MTAZ berkuat kuasa esok hingga 12 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes bagi membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Bangkahulu, Gemas mulai esok hingga 12 Mei selepas KKM merekodkan 38 kes positif Covid-19 daripada 170 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di kampung itu.

“Pada masa sama, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus.

“Keputusan melaksanakan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Ismail Sabri memberitahu, kerajaan turut memutuskan untuk melaksanakan PKPD di dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub mulai esok hingga 12 Mei ini.

“Penempatan di Sungai Chalit yang dikenakan PKPD ialah Kampung Baru Sungai Chalit dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit.

“PKPD di Sungai Klau pula membabitkan Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau.

“Sehingga kini, KKM merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau, manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast