Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob interstate travel ban Hari Raya Aidilfitri balik kampung Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di beberapa kawasan di daerah Raub, Pahang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di daerah Raub dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di mukim Gali dan Tras.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan terdapat peningkatan kes aktif dalam tempoh sembilan hari ini apabila merekodkan sebanyak 83 kes positif Covid-19.

Selain itu, katanya, KKM turut mengesahkan kluster Raub Jaya telah merebak disebabkan aktiviti sosial dan ia turut dikesan di sekolah serta dalam kalangan pelajar.

“Taburan kes Covid-19 ini melibatkan Mukim Gali adalah Bandar Raub, Sungai Ruan, Kampung Baru Sempalit dan di Mukim Tras ialah membabitkan Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh daerah Raub dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Gali dan Tras bermula hari ini hingga 13 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPB dan PKP di daerah dan mukim-mukim ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perlembangan sama, Ismail Sabri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang yang merekodkan 11 kes positif Covid-19 daripada 117 orang yang disaring.

Justeru katanya, KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi dan hasil penilaian risiko telah memutuskan pelaksanaan PKPD di Taman Seri Desa, Kuala Krau berkuat kuasa 30 April sehingga 13 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk mengurangkan pergerakan dan komunikasi dalam komuniti bagi memutuskan rantaian jangkitan serta memudahkan aktiviti pengesanan awal kes-kes berisiko di kawasan sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, pelaksanaan PKPD di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak setelah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak premis itu akan bermula esok hingga 13 Mei ini.

Ismail Sabri memberitahu, KKM telah melaksanakan 594 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 17 kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.

“Sementara itu PKPD ditamatkan di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka pada hari esok.

“Sebanyak 2,072 ujian saringan dilaksanakan oleh KKM dan 367 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan trend penurunan direkodkan tanpa kes baharu,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, PKPD juga dilanjutkan di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan mulai 1 Mei hingga 14 Mei ini.

Katanya, KKM melaksanakan 487 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 250 kes positif direkodkan.

“Namun, masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta sebanyak 237 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Mengambil kira situasi itu kerajaan melanjutkan PKPD mulai 1 hingga 14 Mei ini,” ujar beliau. -MalaysiaGazette