Ropiah berharap ada pihak tampil membantu membaiki rumahnya yang kian uzur.

KUALA KURAU – “Walaupun struktur kayu dinding dan lantai rumah robek dimakan anai-anai, tapi inilah syurga saya berlindung dari panas dan hujan”.

Itu luahan seorang wanita berusia 85 tahun apabila rumahnya di Parit Teluk Pial Baruh, di sini, menunggu masa rebah menyembah bumi.

Ropiah Abdurrosid.

Menurut Ropiah Abdurrosid, rumah peninggalan arwah suaminya itu didiami sejak tahun 1970-an, namun sejak kebelakangan ini keadaan rumah semakin uzur akibat dimamah anai-anai.

Jelasnya, dia kini berdepan situasi kemasukan binatang berbisa susulan dinding belakang rumah tersebut runtuh akibat kejadian ribut dua bulan lalu.

Kata wanita itu, dia juga bimbang terjerlus ke bawah susulan papan kediaman reput kerana kerap ‘bermandikan’ hujan akibat bumbung bocor.

Dinding bahagian dapur rumah Ropiah roboh akibat ribut dua bulan lalu.

“Saya memilih untuk terus tinggal di kediaman ini walaupun enam orang anak sering memanggil saya untuk tinggal bersama. Bukan nak menunjukkan mereka abaikan saya tetapi saya sendiri tidak mahu menyusahkan mereka yang sudah mempunyai keluarga tambahan pula pendapatan mereka pun tak seberapa.

“Selama ini saya tidak pernah minta bantuan daripada mana-mana pihak tetapi keaaaan kini sangat terpaksa kerana rumah yang didirikan arwah suami atas tanah sewa ini menunggu masa untuk runtuh sepenuhnya.

Ropiah menunjukkan keadaan rumahnya di Parit Teluk Pial Baruh, Kuala Kurau, Perak yang menunggu masa menyembah bumi.

“Tidak ada wakil rakyat datang menjenguk keadaan saya di sini apatah lagi memberi bantuan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya hari ini.

Tambahnya, tiada bantuan diterimanya untuk meneruskan sisa hidup malah dia serta anak lelakinya pernah berjumpa dengan satu pihak bagi mendapatkan bantuan membaiki rumah namun tidak dipedulikan.

Ropiah memilih untuk tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah suaminya.

“Bukan tidak peduli permintaan kami, malah kehadiran kami turut dipertikai membuatkan saya kesal dan sedih atas layanan yang diberikan.

“Saya bukan minta binakan semula rumah yang sama, sekadar minta satu pondok yang selesa untuk saya diami tapi itupun tidak dihiraukan,” kata Ropiah.

Sementara itu, anak keduanya, Eliyas Samsuri,46, berkata, setiap hari dia akan datang menjenguk ibunya susulan bimbang sesuatu yang buruk menimpa wanita itu.

Eliyas.

Jelas operator kilang itu, pendapatan RM1,000 membuatkan dia tidak mampu membina kediaman sempurna buat ibunya malah permintaan untuk dibawa tinggal bersamanya turut ditolak.

“Bukan kami abaikan mak, malah sebagai seorang anak saya cuba baiki rumah yang didiami itu sekadar yang mampu memandangkan gaji saya memadai untuk perbelanjaan saya dan anak-anak.

“Tidak pernah sehari saya tidak datang menjenguk dia, malah sejak kejadian ribut dua bulan lalu membuat diri saya tertekan kerana tidak mampu menjaminkan keselamatannya di malam hari.

“Saya harap pihak berwajib dapat menolong baiki rumah mak agar dia dapat menjalani kehidupan seperti orang lain,” kata Eliyas.

MalaysiaGazette difahamkan, wanita warga emas itu mengharapkan pendapatan anaknya untuk perbelanjaan harian serta pembayaran bil elektrik memandangkan tidak mendapat sebarang bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Zakat Perak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 082102838991791 Ropiah Abdurrosid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast