Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob interstate travel ban Hari Raya Aidilfitri balik kampung Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Selepas semua daerah di Kelantan dikenakan Perintah Kawalah Pergerakan (PKP), perkara sama turut dijalankan di lima daerah di Kedah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilaksanakan kerana terdapat 709 kes aktif di daerah-daerah itu.

“Kelima-lima daerah tersebut ialah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

“Dalam tempoh 14 hari sehingga 29 April 2021, KKM mengesahkan sebanyak 709 kes aktif telah direkodkan di kelima-lima daerah tersebut selepas berlaku penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di mukim/ daerah atau zon,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PKP itu bermula esok sehingga 14 Mei depan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKP itu bertujuan untuk menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat.

Minggu lalu, Kelantan menjadi negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tiga lagi daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang dikenakan perintah itu bermula 21 April lalu.

Malah PKP di negeri itu turut dilanjutkan sehingga 17 Mei depan.

Dalam pada itu, tiga lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan iaitu dua di Sabah dan satu di Sarawak.

“PKPD Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah dilaksanakan setelah 18 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 185 ujian saringan dilakukan ke atas penghuni sekolah dan penduduk di lokaliti tersebut.

“PKPD di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah dilaksanakan setelah lapan kes positif Covid-19 direkodkan.

“PKPD di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak setelah merekodkan 17 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 148 ujian saringan,” katanya.

Kesemua PKPD itu dilaksanakan berkuat kuasa esok sehingga 14 Mei depan.

Tiga PKPD ditamatkan mulai esok iaitu PKPD Taman Mesra Bako, Kuching, Sarawak, PKPD Kampung Tengah, Betong, Sarawak dan PKPD di 3 taman perumahan, Tawau, Sabah.

Ia selepas ketiga-tiga PKPD itu mencatatkan 103 kes positif Covid-19 sejak dilaksanakan.

Selain itu, satu lagi PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan dilanjutkan sehingga 14 Mei depan.

PKPD itu dilanjutkan setelah 596 ujian saringan mendapati 67 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam 420 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Daripada jumlah itu, seramai 417 individu dikompaun manakala tiga lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah 188 kes tiada penjarakan fizikal, 162 gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, 48 kes tidak memakai pelitup muka dan lain-lain 22 kes. – MalaysiaGazette