PUTRAJAYA – Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkuatkuasa Selasa depan.
Lantikan itu dilakukan berikutan Abdul Hamid, 62, akan menamatkan kontraknya pada Isnin ini.
Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13 oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Anak kelahiran Petaling Jaya itu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).
Beliau pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi. – MalaysiaGazette