KUALA LUMPUR – Pemain sayap kiri Terengganu FC, Mohamad Hakimi Abdullah mengakui masih terlalu awal untuk berasa puas dengan prestasi ketika ini meskipun namanya semakin menjadi sebutan selepas membantu pasukan meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu lalu.
Menurut Hakimi, dia belum pernah menerima pujian sebegitu sepanjang kariernya dan menganggap ia satu penghargaan untuknya terus mencapai prestasi cemerlang apatah lagi ini merupakan musim pertama dia beraksi di kancah Liga Super.
Setakat ini, pemain muda berusia 22 tahun itu telah menjaringkan tiga gol termasuklah gol kemenangan yang menewaskan pendahulu liga, JDT sekali gus menjadi perhatian warga peminat bola sepak.
Namun, Hakimi merasakan masih banyak kerja rumah yang perlu dipelajarinya untuk memastikan dia terus berada di landasan tepat bagi mencipta nama bersama Terengganu FC.
“Sebenarnya saya sendiri rasa tak percaya dapat bantu pasukan, dan perasaan dia memang berbeza kerana sebelum ini saya beraksi untuk negeri kelahiran, Kelantan dan sekarang berada di Terengganu, bukan senang pada awalnya nak berada dalam kesebelasan utama.
“Sekarang masa untuk saya kerja lebih kuat lagi sebab nak dapatkan kepercayaan lebih tinggi daripada jurulatih (Nafuzi Zain), sebab apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Kalau dari segi pujian tu, saya memang ambil yang positif sahaja dan semestinya ia jadi pembakar semangat untuk saya terus berjuang selepas ini”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.
Dalam masa sama, Hakimi tidak menolak turut memasang impian untuk berada dalam kelompok penjaring terbanyak Liga Super musim ini meskipun sedar pemain import lebih mendominasi.
Selagi masih berpeluang, pemain kelahiran Kelantan ini akan memastikan dirinya mampu beri impak besar kepada pasukan untuk membawa Terengganu ke tahap lebih cemerlang pada tahun ini.
“Kalau sebelum ini, saya rasa macam susah sebenarnya nak jaringkan gol, jadi memang saya tidak letak sasaran apa-apa pun.
“Tapi, apabila saya sudah dapat sesuaikan diri dalam perlawanan demi perlawanan, dan selepas itu mampu meledak gol, saya akan cuba untuk raih lebih banyak jaringan dan mungkin kalau ada rezeki, dapat berada dalam kalangan penjaring terbanyak.
“Yang penting, sekarang adalah masa untuk saya cari seberapa banyak pengalaman untuk karier saya, dan berazam untuk bawa pasukan ini pergi lebih jauh”, tambahnya.
Terengganu ketika ini hanya dibezakan dua mata sahaja dengan JDT untuk berada di tangga kedua liga dan seterusnya akan berdepan Penang FC untuk aksi ke-11 Liga Super, esok. – MalaysiaGazette