KUALA LUMPUR – Kontroversi pernikahan dan fitnah kartel dadah yang dilaluinya sejak ke belakangan ini tiba-tiba membuatkan nama pelakon, Serina Redzuawan menjadi sebutan ramai.
Apatah lagi ditambah pula apabila netizen tidak berhenti melemparkan pelbagai kata-kata nista, seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di sebalik kehidupannya selama ini.
Enggan lagi menoleh ke belakang, ibu kepada dua anak ini mahu kembali fokus dalam bisnes telekung yang diceburinya sejak dua tahun lalu.
Kata Serina, apa yang terjadi biarlah berlalu dan dia perlu berpijak dengan realiti iaitu kehidupan perlu diteruskan.
Malah dia tidak mahu bisnes yang dibina daripada kosong bakal musnah begitu sahaja. Tambahan pula, dia memiliki ramai ejen di bawahnya agar mereka tidak sama larut dalam peristiwa lampau yang ditempuhinya.
“Apa yang keluar dalam laman web dan sosial media berunsur fitnah semata-mata di mana ada juga yang menjatuhkan nama baik dan reputasi perniagaan yang saya miliki. Namun laporan polis telah dibuat untuk membersihkan nama saya.
“Namun apa yang berlaku biarlah menjadi pengajaran kepada saya dan saya perlu bangkit untuk terus berjuang kerana ini jalan yang saya pilih.
“Lagi pun saya menceburi bisnes telekung ini sejak Oktober 2019 dan saya memilih bisnes ini kerana ia merupakan satu-satunya platform yang mengingatkan diri untuk terus beristiqomah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Di samping berdakwah secara halus, sedikit sebanyak bisnes ini memberi peringatan kepada saya tentang kepentingan solat termasuk kepada orang ramai,” kata isteri kepada Meor Mohammad Aidid ini.
Berkongsi pengalaman menjadi usahawan, Serina, 39, memberitahu, pada peringkat awalnya dalam bisnes telekung jenama Serina Inspire itu, dia memberi fokus kepada telekung yang bersaiz besar.
Ini kerana dia mahu setiap pembeli yang menggunakan telekung itu berpuas hati dengan reka bentuk yang selesa dan berkualiti terutama bagi mereka yang berbadan gempal.
Apa yang menggembirakannya, selepas setahun lebih berada di pasaran, telekung Serina Inspire sudah mengeluarkan lebih 10 corak dengan purata jumlah jualan melebihi 1,000 pasang sebulan.
“Sasaran jualan Ramadan ni, Serina Inspire menampilkan dua corak baharu dengan material kain kapas denim yang terdiri daripada lapan warna menarik.
“Telekung ni agak berbeza dengan telekung-telekung jenama lain di pasaran kerana saya menggunakan material yang berbeza dan pastinya tidak mengecewakan sesiapa yang mencubanya.
“Satu lagi adalah telekung sedondon ibu dan anak berumur 7 hingga 11 tahun di mana lima warna pastel menggunakan kain jersi lembut bersulam terus di atas kain yang nampa eksklusif dan mahal namun pada harga mampu milik,” katanya yang pernah bergelar ibu tunggal.
Mengulas lanjut, anak kepada cef popular, Chef Wan ini berkata, pembabitannya dalam bisnes telekung ini bukan dibuat tergesa-gesa dan ingin mengambil kesempatan di atas kariernya sebagai selebriti.
Ini kerana apa yang dilakukannya kata Serina, dia amat menitik berat material yang pelbagai mengikut kesesuaian pengguna seperti gred kain kapas, kain denim dan kain jersi yang berkualiti.
“Saya juga membuat kajian mengenai pola asli telekung di Malaysia yang berdagu lebar selesa dan patuh syariah.
“Malah, telekung Serina Inspire menitik beratkan keselesaan pengguna berbadan montel, dengan saiz kain lebar dan labuh agar mereka selesa untuk bertafakur di atas sejadah.
“Paling utama Serina Inspire memberi jaminan wang dikembalikan jika ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan reka bentuk atau jenis kain yang kami gunakan,” katanya bersungguh-sungguh.
Mengakhiri perbualan, Serina mengakui dia menaruh harapan tinggi agar bidang bisnes telekung ini menjadi periuk nasinya selepas ini.
Menetap cita-cita tinggi, dia menyasarkan produk keluarannya berkembang maju seiring dengan jenama-jenama lain yang terkenal di pasaran termasuk dapat dieksport ke luar negara.
“Serina Inspire tidak berniat untuk bersaing sebaliknya sekadar ingin memberi alternatif kepada para muslimah di luar sana membuat pilihan koleksi telekung untuk kegunaan solat mereka lima waktu.
“Di samping itu, saya berasa puas kerana dapat melaksanakan fardu kifayah yang sedikit sebanyak mendorong untuk terus istiqomah dalam menjadi muslimah yang sempurna,” katanya yang turut memohon maaf kepada semua atas yang menimpa dirinya selama ini.
Sementara itu, Serina juga menjalankan perniagaan air minuman dikenali Air Jagung Heaven yang dipasarkan di stesen-stesen minyak seperti Shell dan Petronas selain giat menjual biskut raya serta menyediakan servis hamper Raya sepanjang Ramadan ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan produk keluaran Serina boleh melayari media sosial miliknya iaitu Facebook dan Instagram: Serina Redzuawan atau hubungi Serina inspire di talian +601130503969. – MalaysiaGazette