LONDON – Ole Gunnar Solskjaer mahu penyerang, Edinson Cavani, terus kekal di Old Trafford pada musim depan.
Pengurus Manchester United itu kini terlibat memujuk dan meyakinkan pemain itu untuk terus bersama pasukan itu.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu menyertai United pada Oktober 2020 dengan kontrak setahun secara percuma dari Paris Saint Germain dengan opsyen menyambung kontrak selama setahun lagi.
Bagaimanapun, Cavani masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya sama ada mahu kekal di England atau berhijrah ke kelab lain.
Pemain itu dikhabarkan sudah memulakan rundingan kontrak dengan pengurusan tertinggi United selain mempertimbangkan cadangan untuk menyertai kelab asalnya, Boca Juniors.
Pengulas sukan serta para penyokong kelab itu yakin Cavani akan lebih menyerlah dan menyumbang lebih banyak gol jika kekal bersama United.
“Dia (Cavani) tahu perasaan saya yang mahukan dia dia kekal di kelab ini.
“Edinson lebih daripada seorang penyerang yang menjaringkan gol. Dia terbaik dalam membawa permainan di atas padang supaya sentiasa berada dalam kawalannya dan rakan-rakan pasukan.
“Saya sangat berharap dia kekal semusim lagi dan saya sedang berusaha ke arah itu dengan menjanjikan dia sesuatu terbaik di kelab ini,” kata Solskjaer – MalaysiaGazette