KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk menyegerakan siasatan punca kematian A. Ganapathy yang didakwa dipukul polis dengan paip getah ketika berada dalam tahanan.
Ketua Pemuda Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Ganesh Kumar Sambathan berkata, insiden kematian tahanan bukan sesuatu yang baharu namun apabila berlaku saban kali ia sangat ‘mengganggu jiwa’.
Jelas Ganesh, pihak polis perlu tampil memberikan penjelasan berdasarkan siasatan serta fakta dan tidak sepatutnya dipandang sambil lewa agar sebarang kekeliruan berkaitan dapat diperjelaskan.
“Ramai ingin tahu mengapa ini kerap berlaku. Kita sentiasa ‘dikejutkan’ dengan insiden kematian seperti ini, sebetulnya polis tampil dengan sebuah badan bebas siasat punca dan dakwaan ini.
“Dakwaan ibu si mati bahawa mendiang telah dinafikan hak untuk menerima perubatan dan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius ketika dalam tahanan ini perlukan pencerahan sewajarnya.
“Dengan keadaan tidak menentu pandemik, umum sudah terlalu tertekan ditambah pula dengan insiden seperti ini yang seperti tidak ada penghujungnya pastinya akan menambah beban serta kerunsingan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi yang terlibat ini dikaitkan dengan polis yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat serta negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Berikutan itu, menggesa supaya pihak berwajib menubuhkan suruhanjaya bebas untuk mencari punca kematian.
Kata Ganesh, kejadian individu mati dalam tahanan polis juga menyebabkan umum mahu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan dengan segera.
“Ini sangat penting, IPCPMC mampu memberikan keadilan kepada semua, mangsa mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada terus dipalit dengan pelbagai tohmahan.
Pada 24 Februari lalu, Ganapathy ditahan bagi membantu siasatan terhadap seorang adiknya yang dicari polis.
Bagaimanapun dia dibebas pada 8 Mac lepas dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.
Ibunya, S Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahu bahawa dia dipukul oleh polis dengan menggunakan paip getah.
Mendiang yang bekerja sebagai penjual susu lembu mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya perlu dipotong.
Keluarga mendiang mendakwa kesihatannya merosot ketika dalam tahanan polis, mengakibatkan kakinya bengkak dan lebam seolah-olah dipukul. – MalaysiaGazette