Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menghargai komitmen Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mengkaji semula kadar gaji minimum bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosie-ekonomi semasa negara.

Hasrat kerajaan itu disifatkan sebgai langkah yang selari dengan pendirian kongres itu berikutan peningkatan kos sara hidup yang mendadak, kata Presidennya, Adnan Mat hari ini.

Beliau juga mengenepikan persepsi pihak tertentu kononnya kenaikan gaji rakyat hanya akan meningkatkan kos sara hidup dan menyifatkan ia sekadar alasan kapitalis untuk mengaut keuntungan daripada titik peluh pekerja.

“Sistem saraan yang diguna pakai dalam perkhidmatan awam ketika ini dilaksanakan berdasarkan kajian semasa ekonomi pada tahun tersebut dan semestinya wujud keperluan segera perlu dikaji setiap lima tahun sekali supaya ia relevan berdasarkan situasi ekonomi semasa negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, CUEPACS bersedia untuk berkongsi pandangan serta terlibat secara langsung dalam mengambil bahagian bagi mengkaji penetapan gaji minimum pekerja terutama melibatkan sektor perkhidmatan awam.

Ujarnya, andaian bahawa kos sara hidup akan meningkat sekiranya gaji rakyat dinaikkan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekiranya gaji tidak dinaikkan, kos sara hidup tetap naik sehingga menyebabkan rakyat terkesan.

“Mekanisme pengawalan kenaikan harga barangan perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mengatasi permasalahan ini dan bukannya menghukum rakyat dengan mengenakan gaji rendah,” katanya. – MalaysiaGazette