Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) diiringi Presiden Uniti Asia Business Group, Datuk Jamal Mohd. Amin (tiga kiri) beramah mesra bersama wakil-wakil kerjasama syarikat pada Majlis Iftar dan Forum Waqaf Asean Mall 2021 di Menara Arina, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2021.

BANGI – Isu meletakkan hukum melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri sebagai haram selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Katanya, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah telah menerangkan mengenai ketetapan itu kepada beliau dan menjelaskan masyarakat perlu melihat kepada konteks penuh ucapannya.

“Saya telah tanya dia. Sebenarnya tidak ada apa pun. Dia sekadar ucapan dalam webinar dan ucapan kalau tengok dalam konteks keseluruhan memang kita lihat ada syarat, peraturan dan kaedah menyebut.

“Jadi dalam isu ini kita nampak selesai kalau kita tengok keseluruhan konteks,” katanya kepada media selepas Majlis Iftar Muzakki bersama anak yatim dan pelancaran aplikasi MyZakat 2021, hari ini.

Zulkiflimenyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Luqman bahawa haram hukumnya mana-mana individu yang melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah bercakap pada Majlis Iftar Muzakki Bersama Anak Yatim dan Pelancaran Aplikasi MyZakat 2021 di Tenera Hotel, Bangi, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2021.

Sementara itu, Luqman menjelaskan, pandangan beliau berdasarkan kepada soalan yang diberikan kepadanya.

Menurut beliau, masyarakat boleh menilai sendiri apa yang disampaikan apabila melihat video penuh ulasannya.

“Video penuh ada Facebook UKM dan boleh melihat video berkenaan, maka tidak timbul apa-apa masalah. Saya sudah jelaskan dengan jelas pandangan saya di mana ada satu soalan yang ditanyakan kepada saya dan semua itu dalam ruang lingkup tajuk yang diberikan.

“Kena lihat video penuh dan tidak akan timbul apa-apa masalah,” katanya pada majlis sama.

Pada Jumaat lalu, Luqman berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Luqman berkata demikian pada Seminar “Cabaran Covid-19 Menurut Perspektif Islam” dan Pelancaran Buku Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut disiarkan secara maya melalui aplikasi Zoom. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Masalahnya bagaimana dengan keluar dari negeri yg dilanda wabak ke negeri yg tidak ada wabak bg tujuan melancong dihalalkan pula???? double standard!

Comments are closed.