PASIR GUDANG – Hati ibu mana tidak terusik melihat kedua-dua anak perempuannya sanggup berkorban melupakan hasrat untuk ke menara gading demi menjaga ibu dan ayah yang kini terlantar sakit.

Perasaan hiba itu tidak dapat disembunyikan oleh Asmah Mohd Yatim, yang berusia 56 tahun apabila melihat anaknya Jamilah Mohamat dan Nursyahira Mohamat berkorban melepaskan peluang untuk menyambung pelajaran masing-masing.

Diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga, kehidupan Jamilah berubah 360 darjah apabila bapanya diserang angin akhmar pada Disember lalu manakala ibunya mengalami masalah buah pinggang.

Dia kini yang berusia 26 tahun menjadi ketua keluarga dan bekerja sebagai kerani dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

Menurutnya, setiap bulan dia memerlukan lebih RM2,000 untuk membeli ubat-ubatan ibu dan bapanya selain menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk rawatan dialisis ibunya.

“Tuhan sahaja yang tahu kerana waktu itu saya hanya menjaga emak yang sakit.

“Tetapi kini ayah yang selama ini beri kami makan dan menjadi harapan tempat kami bergantung tiba-tiba jatuh sakit.

“Saya ingat lagi, ketika itu saya nak keluar isi minyak kereta, tetapi saya nampak kereta ayah parking di satu sudut dan bila saya ke kereta saya lihat ayah seperti kejang.

“Kekuatan saya sebenarnya ialah ibu, saya tengok ibu kuat sebab itu saya pun kuat.

“Sebelum ini dia pun stroke tetapi sebabkan dia kuat, dia dah boleh bergerak sekarang ini” katanya.

Lagi memeritkan, ibunya pula kini trrpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Gaji saya cuma RM1,200. Tolak bil air, bil api, duit minyak berapa sangat, memang kami terima bantuan daripada MAINJ untuk rawatan dialisis ibu tetapi memang tidak mencukupi.

“Abah pula empat jam sekali kena minum susu khas, dia makan melaui tiub.

“Selain itu pampers abah, tisu ubat-ubat semua saya gunakan duit gaji saya,”katanya.

Sementara itu, ibunya, Asmah ketika ditemui baru sahaja menjalani pembedahan jantung seminggu lalu manakala suaminya terlantar kerana mengalami angin akmar.

“Sepatutnya kami yang menjaga mereka, ini terbalik anak-anak pula terpaksa jaga kami dan terpaksa lupakan cita-cita mereka.

“Tiada siapa yang tidak suka melihat anak-anak berjaya, kesian anak-anak penat-penat belajar akhirnya tak kesampaian nak teruskan impian.

“Makcik bersyukur dapat anak-anak sebegini, semoga syurga tempat anak-anak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediamannya di Taman Rinting, di sini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. moga pengorbanan dan berbakti anak pada ibubapa mendapat Rahmat ALLAH dan Mudahkan segala urusan dunia akhirat

Comments are closed.