Para peserta tekun mempelajari lipatan tanjak hulubalang anjuran GAMP.

KUANTAN – Pernah terjerumus dengan najis dadah, namun sejarah hitam itu bukanlah  titik noktah dalam kehidupan jika diri mahu berubah.

Inilah yang cuba dibuktikan oleh 80 orang penghuni Rumah Penjagaan dan Rawatan Bekas Penagih Dadah Lelaki Casa Villa apabila berpeluang mengikuti bengkel asas melipat tanjak hulubalang dalam Program Tautan Kasih Ramadhan.

Program itu dianjurkan oleh Gerakan Anak Melayu Pahang (GAMP).

Lipatan tanjak hulubalang merupakan salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana pada zaman dahulu.

Pengerusi GAMP, Mohd Jalaludin Fikri Jamal berkata, bengkel itu bukan sahaja memberi ilmu kepada golongan bekas penagih dadah tetapi yang lebih penting mendekatkan mereka kepada masyarakat.

Dengan cara ini, golongan tersebut tidak terpinggir dan masyarakat pula dapat memberi sokongan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

“Ilmu asas ini merupakan serampang dua mata, bukan sahaja mengembalikan mereka kepada masyarakat tetapi mendedahkan mereka kepada komuniti semula.

”Selain itu, dengan adanya ilmu ini, sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakannya untuk menambahkan pendapatan sebagai persediaan kembali ke alam pekerjaan nanti,” katanya.

Bagi penghuni Casa Villa, Suhaimi Mat Salleh, menyifatkan ilmu yang diperoleh itu cukup berharga, apatah lagi program itu dianjurkan bersama-sama masyarakat setempat,

Dia yang berasal Pulau Pinang mengakui teruja untuk belajar pengalaman baharu itu.

“Saya terharu apabila masyarakat tidak membuang kami sebaliknya masih ada yang memberi sokongan,” katanya sambil menasihati anak-anak muda supaya menjauhi dadah.

Ini kerana, katanya, sekali cuba, selama-lamanya akan dicop sebagai penagih walaupun sudah berubah.

Manakala rakannya, Mohd Faizal Zulkfli pula berkata, sepanjang hayat hidupnya, dia tidak sekali pun pernah ambil tahu ilmu seni budaya Melayu kerana leka dengan dadah sejak 15 tahun lalu.

Faizal berkata, dia gembira dapat bersama-sama terlibat dalam program ini kerana berpeluang bercampur dengan orang luar yang datang ke pusat ini.

“Sebelum ini, saya selalu beranggapan tiada orang yang ambil tahu pasal kami di sini namun sangkaan saya meleset.

“Menyertai program ini bersama-sama mereka, membuatkan saya rasa bahagia dan memberi semangat untuk saya membetulkan kehidupan,” kata Faizal yang mengakui khuatir untuk berdepan dengan dunia luar kerana bimbang tersilap langkah semula. – MalaysiaGazette