KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan ribut yang berlaku petang semalam telah menyebabkan mendapan dan kerosakan teruk di Jalan Maarof, Bangsar di sini.
Kejadian itu dikongsi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi rakaman video di Facebook miliknya, malam tadi.
“Tadi selepas solat Isyak dan tarawih di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, saya terkejut lihat kereta peronda menghalang laluan kenderaan dari depan masjid ke arah Maybank Bangsar Baru.
“Saya bergegas ke arah lokasi dan mendapati terdapat kesan retak di atas Jalan Maarof,” katanya menerusi hantaraan di laman sosial berkenaan.
Menurut Fahmi, jalan berkenaan ditutup buat sementara dan pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah berada di lokasi untuk menjalankan siasatan.
Ujarnya, berdasarkan pemerhatian kejadian berlaku berkemungkinan ribut dan hujan lebat sekitar jam 9 malam yang mengakibatkan jumlah air mengalir di longkang meningkat mendadak.
“Ini berkemungkinan mengakibatkan dinding longkang jatuh dan air mengalir terlalu deras ke arah jalan berturap,” tambahnya.
Katanya lagi, kerja baik pulih jalan itu akan dilakukan segera oleh pihak berkuasa tempatan termasuk menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian.
Sementara itu, DBKL berkata, kejadian tanah mendap dan terhakis telah berlaku di Jalan Maarof sekitar jam 10 malam tadi.
Jalan Maarof, di Bangsar telah ditutup secara keseluruhan kepada lalulintas sehingga jam 5 pagi tadi untuk membolehkan kerja-kerja tampalan sementara jalan yang rosak dilaksanakan.
Dua lorong (selepas Public Bank ke lampu isyarat) telah dibuka semula kepada kenderaan awam sebaik sahaja kerja selesai dilaksanakan.
Manakala satu lorong akan ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja perobohan hentian bas untuk membolehkan pelaksanaan pembaikan longkang dan membaiki jalan. – MalaysiaGazette