Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusop bercakap kepada media mengenai satu isu video viral ibu tunggal mendapat bantuan dari gereja dalam sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Seksyen 13, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 MEI 2021.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendapati dua daripada tiga wanita muslim yang mendakwa mendapat bantuan dari gereja ternyata tidak benar.

Malah dakwaan tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada pihak LZS dan agensi lain yang berkaitan ternyata tidak tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS,  Saipolyazan M.Yusop berkata, jawapan itu hasil pertemuan pihaknya dengan kedua-dua wanita berkenaan.

Pertemuan identiti kedua-duanya itu adalah sumber daripada penolong amil kariah masjid bagi mendapatkan kesahihan dakwaan tersebut selepas video mereka tular.

“Daripada pertemuan ini, kami tidak dapat sahkan kesahihan bantuan yang disebut sebagai bantuan daripada gereja setakat ini, kerana kedua-dua mereka yang kami temui mengatakan tidak menerima sebarang bantuan daripada gereja.

“Kita telah berjumpa ibu tunggal B dan C namun ibu tunggal A yang menerima bantuan LZS tidak dapat dihubungi sehingga kini dan kami masih tidak mempunyai butir maklumat ibu tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Saipolyazan juga mengesahkan bahawa salah seorang ibu tunggal dalam video itu yang merupakan ibu tunggal A adalah asnaf miskin yang berdaftar dengan LZS sejak 2020.

Hasil siasatan mendapati ibu tunggal yang sama pernah menerima bantuan penuh daripada LZS dengan nilai jumlah keseluruhan adalah RM23,450 termasuk kewangan bulanan dan sewa rumah hingga tahun 2021.

“Ibu tunggal A merupakan seorang ibu tunggal yang bercerai pada tahun 2019 dan mempunyai tiga orang tanggungan. Antara bantuan zakat yang disalurkan adalah bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah (bulanan), bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup (bagi menjelaskan tunggakkan sewa rumah), bantaun kecemasan dan bantuan hari raya.” katanya.

Ketua Wanita Kramat, Sharifah Noorlina Mahdar (dua kanan) beramah mesra bersama tiga ibu tunggal yang mendakwa diri mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berwajib selepas sidang media yang dianjurkan oleh aktivis Kramat di Ukay Perdana, Ampang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 APRIL 2021.

Sementara itu, bagi status ibu tunggal B pula, Saipolyazan menafikan dia bukan seorang ibu tunggal dan mempunyai suami yang tidak menetap di Malaysia serta mempunyai tiga orang anak yang dewasa.

Malah mengakui pernah menerima bantuan penuh dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tahun 2012 hingga 2017 ketika menetap di bawah wilayah itu.

“Hasil laporan yang diterima, wanita ini masih menerima bantuan dari MAIWP sehingga 2021 iaitu bantuan musibah dan perkara itu telah disahkan oleh MAIWP.

“Dia juga pernah menerima bantuan menyelesaikan sewa rumah pada tahun 2017 daripada LZS. Namun selepas itu, LZS tidak menerima permohonan lain daripadanya.

“Sehingga kini, LZS masih belum menerima permohonan dia dan kami akan segera melakukan bancian bagi memastikan keperluan sebenar keluarga tersebut,” ujarnya.

Manakala status ibu tungga C pula, Saipolyazan memaklumkan wanita itu juga bukan ibu tunggal seperti yang didakwa dan masih mempunyai suami.

Hasil siasatan ke atasnya mendapati dia mempunyai empat orang tanggungan berumur di antara empat hingga 14 tahun.

“Ibu tunggal ini baru menghantar permohonan pendaftaran asnaf fakir dan miskin, namun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana tidak menyertakan dokumen penceraian.

“Apabila dia menyatakan bahawa dia ibu tunggal, kami perlukan dokuman itu bagi proses kelulusan bantuan kepadanya kerana kami perlu melihat pendapatan had kifayah dalam isi rumah.

“Bagaimanapun, jika dia memberi dokumen lengkap tersebut LZS akan melakukan bancian dan siasatan bagi menyalurkan bantuan kepadanya seperti mana yang diterima asnaf fakir miskin yang lain.” katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berharap badan bukan kerajaan (NGO) Kramat dapat tampil dan bekerjasama dengan LZS bagi menyelesaikan konflik yang berlaku membabitkan institusi zakat.

Malah beliau juga menasihatkan kepada masyarakat agar tidak cepat melatah dengan berita yang memburukkan institusi zakat sebaliknya perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau juga memakumkan sehingga April 2021, LZS telah menyantuni seramai 58,714 keluarga asnaf fakir dan miskin manakala mualaf seramai 5,808 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 17,535 orang adalah ibu tunggal yang telah mendapat manfaat daripada LZS sepanjang tahun ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga ibu tunggal dakwa tidak dapat bantuan sewajarnya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast