SEREMBAN – Selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dalam masa terdekat berkaitan penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung penularan video itu yang mengaitkan artis tersebut selepas dipercayai berada di sebuah premis perniagaan karpet di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini semalam.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan. PDRM menasihati orang ramai mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial apabila Neelofa bersama suaminya dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.
— BERNAMA