Dibarisi ahli dan jawatankuasa yang minat serta aktif dalam sukan tenis, Southern Tennis Club (STC) kini sedang merencanakan pelbagai program dalam usaha membantu mencungkil pelapis baharu.

JOHOR BAHRU-Dibarisi ahli dan jawatankuasa yang minat serta aktif dalam sukan tenis, Southern Tennis Club (STC) kini sedang merencanakan pelbagai program dalam usaha membantu mencungkil pelapis baharu.

STC yang sebelum ini bergerak sendiri sejak 15 tahun lalu dengan nama Uda Aces kini secara rasmi didaftarkan sebagai sebuah kelab dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pegawai Komunikasi STC, Syahnaz Tee Raimy Tee berkata, selain melaksanakan pelbagai aktiviti dalaman untuk manfaat ahli, pihaknya juga mahu dilihat sebagai sebahagian kelab yang boleh menyumbang dalam pembangunan sukan tenis terutama dalam pencarian serta menggilap bakat baharu.

Katanya, pihak STC sedang merancang akan mengadakan pencarian bakat baharu sukan tenis di negeri itu terutama sekali bagi murid sekolah rendah yang tidak berkemampuan tetapi berminat.

“Keahlian STC seramai 21 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya pegawai bank, ahli korporat, doktor perubatan dan pesara kakitangan kerajaan, kelab ini sedikit sebanyak boleh menyumbang serta membantu bersama dalam pembangunan sukan tenis dan pencarian bakat baharu di Johor.

“STC juga berharap wujud kesinambungan daripada inisiatif yang dilakukan ini dan daripada bakat baharu yang dikesan, pihak lain seperti MSNJ boleh meneruskan atau mengambil alih bakat baharu ini untuk digilap dan dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Kelab ini juga sedang dalam usaha mengumpul sebanyak mungkin dana untuk menampung perbelanjaan program dan aktiviti sukan tenis yang telah dan akan dirancang pada masa akan datang dan segala program serta aktiviti juga bergantung kepada dana yang berjaya dikumpul,” katanya.

Syahnaz berkata, sebagai permulaan satu program Klinik Latihan Asas Tenis untuk pelajar sekolah rendah dan menengah sedang dirangka STC dengan menjadikan lima sekolah sebagai projek perintis program berkenaan.

“Selain itu, STC juga akan menganjurkan kejohanan terbuka untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda selain menggalakkan kelompok veteran dalam sukan tenis menyumbang teknik dan kemahiran dalam konteks kejurulatihan.

“Pihak kami penuh yakin MSNJ serta Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sememangnya komited dan peka terhadap sukan di negeri ini dapat memberi peluang dan kerjasama kepada STC untuk sama-sama terlibat dan membantu pembangunan Sukan Tenis di Johor,” tambahnya.

Tambah Syahnaz, selain visi membantu dalam pembangunan sukan tenis dan pelapis, STC tidak lupa tanggungjawab melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyeimbangkan dan mengoptimumkan peranan sebagai sebuah kelab yang berkesan.

“Antara program CSR yang dirancang dalam masa terdekat ini adalah membantu kumpulan yang memerlukan dan kurang bernasib baik dalam menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast