JOHOR BAHRU – Sebanyak 12 hospital kerajaan di Johor diaktifkan sebagai Hospital Hibrid Covid-19 bertujuan menampung peningkatan mendadak kes berkenaan di negeri ini.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dalam kenyataannya berkata, semua hospital berkenaan beroperasi sebagai hospital Hibrid Covid-19 sejak bulan lalu dengan memberi perawatan pesakit Covid-19 dan pesakit lain
“Ia berikutan jumlah sumber manusia yang terhad dan juga pada masa yang sama bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 yang tinggi yang juga memerlukan rawatan rapi di ICU pada masa ini.
“Seramai 49 orang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di enam hospital Hybrid Covid-19 negeri ini ketika ini.
“Peratus kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 ketika ini meningkat sebanyak 114 peratus berbanding sejumlah 43 katil ICU yang dikhususkan untuk Covid-19, sehingga semalam,” katanya.
Menurutnya, sejumlah 39 daripada 49 pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU itu memerlukan bantuan pernafasan.
Sementaravitu, Vidyananthan berkata, Johor menyaksikan peningkatan kes membabitkan kalangan warga sekolah termasuk guru dan pelajar.
Katanya, kebanyakan kes dikesan akibat penularan di dalam rumah berikutan aktiviti sosial keluarga, dalam kumpulan besar tanpa mematuhi prosedur standard operasi.-MalaysiaGazette