JOHOR BAHRU – Kira-kira 5,000 usahawan pelbagai sektor dibantu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk menyalurkan khidmat nasihat kepada usahawan di negeri ini.

Beliau berkata, bantuan disalurkan termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan keusahawanan di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan tiada usahawan tercicir dalam program bantuan dilaksanakan.

“Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, DPMM Johor telah menubuhkan satu pasukan khusus bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini termasuk menyalurkan maklumat bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan kepada ahli DPMM yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pengagihan juadah iftar percuma melibatkan 2,021 pek mengandungi roti John dan minuman kepada warga bandaraya Johor Bahru di Larkin, di sini.

Pada program sama, DPMM Negeri Johor turut menyampaikan bantuan kepada 100 keluarga terdiri dari golongan asnaf dan anak yatim.

Selain khidmat nasihat, DPMM Johor turut membantu pekerja yang digajikan usahawan yang terkesan daripada pengecilan operasi termasuk mengagihkan barangan keperluan harian kepada mereka yang terjejas.

Muhammed Farhan berkata, kerjasama erat antara DPMM Johor dan pusat itu turut melengkapkan inisiatif bantuan kepada usahawan melalui unit aduan bisnes yang terkesan dari Covid-19.

Menurutnya, DPMM pusat turut mewujudkan talian khas bagi membantu usahawan daripada sudut perundangan bagi memberi khidmat nasihat tentang pinjaman, penyewaan premis dan penyempurnaan kontrak perniagaan.

“DPMM Johor turut berharap kerajaan mengambil kira kesan perit yang terpaksa ditanggung usahawan dan peniaga kecil dalam melaksanakan PKP 3.0 kesan penularan kes jangkitan yang kembali memuncak.

“Kami menyokong perlaksanaan PKP 3.0 bagi mengurangkan penularan kes Covid-10 namun ia perlu lebih efisien dan mempunyai pelan sokongan yang sistematik bagi membantu usahawan yang pasti akan terkesan, sekaligus terhadap pekerja yang digajikan usahawan,” katanya. – MalaysiaGazette