Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud menunjukkan tong roro yang dicuri oleh Geng Roro di sekitar daerah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 04 MEI 2021.

SERDANG – Geng Roro yang aktif mencuri tong sampah Roro di sekitar daerah ini dan Lembah Klang berjaya dilumpuhkan menerusi operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ia selepas penahanan lima suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga India berusia dalam lingkungan 20 hingga 38 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, kelima-lima suspek terbabit berjaya diberkas dalam serbuan yang dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Tangkas, Kajang pada 28 April lalu.

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, kesemua tangkapan mengaku bergiat aktif mencuri tong sampah Roro di sekitar daerah ini dan Kajang serta terdapat 10 laporan polis yang kita terima berkaitan kes kecurian.

“Modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah dengan mengenal pasti lokasi yang terdapat tong sampah Roro ketika waktu siang sebelum kembali semula pada waktu malam menggunakan sebuah lori untuk mencangkuk tong tersebut.

“Tong Roro itu kemudiannya dibawa ke ladang berkenaan untuk proses pemotongan, ubah suai dan dicat bagi menghilangkan tanda pengenalan dari syarikat tong yang mereka curi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rosdi berkata, suspek kedua berusia 20 tahun berperanan untuk mengubah suai tong yang dicuri dan meletakkan nama syarikat kepunyaan suspek pertama.

Jelasnya, tong-tong tersebut kemudiannya akan terus dijual atau disewakan kepada pelanggan.

“Sebuah tong roro dianggarkan berharga antara RM5,000 hingga dan RM6,000 dan nilai rampasan kesemua 14 tong bersama-sama sebuah lori berjumlah RM140,000.

“Selain itu, kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan antaranya sebuah generator, mesin pemotong kayu, mesin pengisar (grinder), alat penyembur cat dan sebuah motosikal,” ujarnya.

Menurut Mohd Rosdi, hasil semakan lanjut mendapati suspek pertama berusia 38 tahun mempunyai 20 rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan baru sahaja tamat menjalani hukuman Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada Ogos tahun lalu.

Tambah beliau, saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek adalah negatif.

“Jadi dengan tertangkapnya lima suspek ini, kita percaya sekurang-kurangnya 14 kes kecurian tong Roro di sekitar daerah ini dan juga Lembah Klang berjaya diselesaikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette