KULIM – Seorang kanak-kanak perempuan mati lemas selepas terjatuh dalam longkang besar sebelum hanyut dibawa arus hingga ke Sungai Dingin, Mahang di sini semalam.
Mayat Naera Dellisha Muhammad Nazri,3, ditemui hanyut tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.30 malam sebelum usaha mencari dilakukan dengan kerjasama pihak bomba.
“Mangsa dilaporkan sedang bermain bersama rakan yang lain berhampiran rumahnya di Felda Gunong Bongsu dan hujan lebat ketika itu.
“Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam longkang besar sedalam satu meter sebelum hanyut dibawa arus hingga ke Sungai Dingin dan kejadian itu disaksikan abangnya.
“Usaha mencari dan menyelamatkan mangsa dilakukan keluarganya sebaik mendapat berita kejadian tersebut daripada anak lelaki mereka berusia lapan tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pihak bomba sebelum mangsa ditemui pada jam 8 malam iaitu tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih terus dijalankan,” ujar beliau.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette