Pegawai JAS Pulau Pinang menunjukan lapisan minyak di dalam parit awam dipercayai dari sebuah kilang pemerolehan semula minyak terpakai di Bukit Minyak di sini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 321 kompaun berjumlah RM642,000 dikenakan ke atas sebuah kilang pemerolehan semula minyak terpakai di Bukit Minyak, di sini, yang mengakibatkan pencemaran sisa minyak ke parit awam.

Lesen kilang berkenaan turut digantung selain diarahkan melakukan pembersihan sisa minyak di dalam longkang awam secara serta-merta.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima maklumat mengenai pencemaran bau dari longkang di kawasan terbabit daripada orang awam pada 30 April lalu.

Lapisan minyak ditemui di dalam parit awam berhampiran kawasan kilang terbabit.

Jelas beliau, bertindak atas aduan itu pihaknya melakukan pemeriksaan sebelum menemui lapisan minyak di dalam parit awam di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak.

“Siasatan lanjut mendapati pencemaran tersebut berpunca daripada salah satu premis pemerolehan kembali buangan terjadual yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan berminyak berhampiran lokasi tersebut.

“Pihak premis didapati tidak melakukan penstoran dengan sempurna dan meletakkan buangan-buangan terjadual di kawasan terbuka sehingga menyebabkan berlaku pelepasan buangan berminyak ke parit awam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, ini bukan kesalahan pertama di lakukan premis berkenaan.

Kata beliau, pemilik premis itu didapati gagal mematuhi syarat-syarat lesen seperti ditetapkan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 selain gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Kita memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak termasuk pengeluar buangan (WG), kontraktor (transporter) dan kemudahan pengolahan buangan terjadual (receiver).

“Malah, tindakan perundangan lebih tegas akan dikenakan tanpa sebarang kompromi kerana pencemaran ini bukan sahaja membahayakan alam sekitar tetapi turut mengancam keselamatan kilang lain serta penduduk berdekatan,” kata Sharifah Zakiah. – MalaysiaGazette