KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa polis menyiasat pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung beberapa salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pendedahan Abdul Hamid merupakan perkara serius apatah lagi membabitkan Suruhanjaya Pasukan Polis dan wakil rakyat yang dipilih secara demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Kami telah memohon PDRM untuk segera melakukan siasatan bagi mengenal pasti siapakah yang dimaksudkan oleh Tan Sri Abdul Hamid sama ada perkara itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.
“Ini termasuk dakwaan terdapat individu yang naik jet peribadi pergi ke Sabah dan selepas itu berlaku lompat katak dalam kalangan ahli politik di sana.
“Kami melihat ini satu perkara yang serius dan luahan bekas KPN ini tidak boleh diambil sambil lewa,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli; Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.
Pada 30 April lalu, Abdul Hamid dalam sidang media terakhirnya menyerang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.
Dalam pada itu, Fahmi juga menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian berhubung pendedahan Abdul Hamid itu antara lain telah membawa perkara itu kepada pengetahuan ahli Parlimen Pagoh itu sendiri.
“Kami mohon Perdana Menteri memberikan penjelasan adakah benar Tan Sri Abdul Hamid bertemu beliau berkenaan perkara ini dan apakah tindakan yang akan beliau ambil terhadap individu-individu yang dimaksudkan oleh bekas Ketua Polis Negara ini.
“Sekiranya tiada apa-apa kenyataan atau tindakan, maka bagi kami ini adalah satu penganiayaan terhadap PDRM yang semakin hari semakin dilihat usaha transformasi untuk menambah baik tidak berjalan lancar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette