KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menggesa polis menyiasat dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin cuba mencampuri urusan Jabatan Cawangan Khas Bukit Aman demi kepentingan politiknya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Bukit Aman perlu memberi penjelasan mengenai perkara tersebut dan segera mengambil tindakan sekiranya dakwaan itu berasas.
“Saya meminta polis menyiasat segera dakwaan terkini berkenaan campur tangan dalam pelantikan serta salah guna kuasa meminta cawangan khas melakukan operasi khas untuk kepentingan politik Menteri Dalam Negeri.
“Kita mohon pihak polis untuk menyiasat segera dan mengesahkan sama ada perkara itu benar atau sebaliknya yang disebut oleh bekas Ketua Polis Negara.
“Sekiranya benar, tindakan perlu diambil terhadap mereka yang telah terlibat dalam usaha untuk campur tangan dalam urusan dan tugas-tugas Cawangan Khas dan PDRM,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan terbaru Abdul Hamid yang mendedahkan wujudnya campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Abdul Hamid juga mendakwa Menteri Dalam Negeri memaksa Jabatan Cawangan Khas melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.
Menurut Abdul Hamid, objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada Jabatan Cawangan Khas untuk memelihara dan menguruskan keselamatan negara. – MalaysiaGazette