Orang awam diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan bergantung sepenuhnya kepada bekalan vaksin yang ada pada masa akan datang, kata menteri penyelarasannya, Khairy Jamaluddin.

Ini kerana ada kebimbangan terdapat kekurangan bekalan daripada pihak pengeluar vaksin Covid-19.

“Fasa 2 berjalan dengan baik.  Fasa 3 sepatutnya bermula pada Mei tapi saya tak tahu adakah bekalan kita mencukupi.

“Kita akan buat pengumuman berhubung perkara ini nanti,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Khairy berkata, keadaan ini berlaku apabila syarikat pembekal vaksin lebih mengutamakan negara-negara kaya dalam proses pengagihan vaksin keluaran mereka.

“Syarikat pembekal pentingkan negara kaya, saya harap masyarakat antarabangsa perlu melihat semula kenapa vaksin yang sangat diperlukan telah dimonopoli oleh negara-negara kaya,” katanya lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

Ditanya mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor, Khairy berkata, penerima vaksin Astrazeneca akan dibenarkan untuk merentas daerah mahupun negeri bagi membolehkan mereka menerima suntikan vaksin.

Katanya, mereka hanya perlu menunjukkan temu janji di aplikasi MySejahtera kepada pihak berkuasa dan mereka akan dibenarkan untuk merentas daerah.

“Mereka tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis. Hanya perlu tunjuk janji temu mereka samada dalam aplikasi MySejahtera ataupun daripasa laman web dan sms. Itu sahaja memadai.

“Kita telah beri arahan kepada pasukan keselamatan yang akan mengawal jalan raya terutamanya sekatan jalan raya untuk membenarkan mereka terus pergi ke PPV mereka,” katanya.

Malah, kata Khairy mana-mana penerima vaksin juga dibenarkan membawa waris masing-masing terutamanya warga emas. – MalaysiaGazette