Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama penerima suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Rata-rata penerima vaksin AstraZeneca teruja dan lega selepas selesai mendapat suntikan dos pertama.

Tinjauan Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapati orang ramai mula beratur seawal pukul 8.30 pagi bagi menunggu giliran pendaftaran.

Beberapa petugas juga sentiasa mengingatkan orang ramai yang hadir supaya menjaga jarak fizikal antara satu sama lain sementara dibenarkan masuk ke stesen pendaftaran.

Kebanyakan yang hadir untuk menerima vaksin pada hari ini terdiri daripada golongan muda dengan sebilangannya adalah warga emas dan ekspatriat.

Jegathiswaran Wodayakumor, 30, menunjukkan kad selepas menerima suntikan pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

Seorang pekerja swasta, Jegathiswaran Wodayakumor, 30, berkata, proses pemberian vaksin di PPV berkenaan berjalan dengan lancar dan teratur.

“Segalanya begitu teratur dan arahan yang diberikan oleh petugas kesihatan juga amat jelas.

“Masa hendak terima suntikan memang rasa gementar kerana terfikir apa yang akan terjadi dan sebagainya tetapi setakat ini semuanya okay sahaja.

“Antara sebab saya mahu ambil suntikan ini kerana ibu saya sudah berusia selain tuntutan kerja yang memerlukan saya untuk kerap ke luar negara jadi ini adalah demi melindungi ibu kerana saya perlu menjaganya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Jegathiswaran, dia hanya memerlukan masa sekitar sejam 15 minit ketika hadir untuk menerima suntikan dos vaksin Covid-19 itu.

Jelasnya, dia mula beratur sekitar pukul 9.45 pagi untuk sesi pendaftaran seterusnya berada di stesen penerangan dan konsultasi oleh petugas kesihatan, penerimaan vaksin dan sesi pemerhatian selama 30 minit sebelum semuanya selesai pada pukul 11 pagi.

“Petugas kesihatan maklumkan kepada saya bahawa tarikh temu janji dos kedua akan di kemas kini menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sebelum membuat tempahan dos AstraZeneca ini saya sudah membaca pelbagai info dan juga kajian selain ambil maklum mengenai kesan-kesan sampingan dan risiko vaksin tersebut.

“Apa pun saya mahu semua rakan-rakan untuk ambil vaksin ini kerana ia bukan sahaja baik untuk diri sendiri tetapi bagi melindungi keluarga serta orang di sekeliling,” ujarnya.

Liew Wai Yip

Turut berkongsi pengalaman, pekerja swasta, Liew Wai Yip, 27, meluahkan rasa terkejut kerana prosedur penerimaan vaksin AstraZeneca itu berjalan dengan pantas dan begitu teratur sekali.

“Saya jangkakan orang ramai akan beratur panjang pada hari ini tapi rupanya tidak dan semua petugas kesihatan juga sangat efisyen menjalankan kerja mereka.

“Saya juga tidak berasa gementar kerana yakin semua orang yang hadir pada hari ini telah buat kajian mereka sendiri selain kerajaan juga berkongsi pelbagai bukti sokongan mengenai vaksin ini yang selamat digunakan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Wai Yip turut mengesyorkan kepada bakal penerima vaksin AstraZeneca untuk mendapatkan maklumat secukupnya dan daripada sumber yang sahih.

Tambah Wai Yip, orang awam juga dinasihatkan untuk tidak mempercayai dakwaan-dakwaan tidak benar yang dikongsikan menerusi laman Facebook mengenai suntikan vaksin berkenaan.

Muhammad Akmal Mohamad Sabor

Sementara itu, bagi pekerja swasta, Muhammad Akmal Mohamad Sabor, 29, dia berasa gembira kerana telah selesai menerima suntikan dos pertama walaupun pada mulanya dia mengalami masalah ketika cuba membuat tempahan slot vaksin AstraZeneca itu.

Menurut Muhammad Akmal, selepas berjaya membuat tempahan vaksin, dia mula mendaftarkan untuk ahli keluarga yang lain termasuk ibu bapanya.

“Hari ini hanya saya seorang sahaja terima vaksin di sini manakala ahli keluarga yang lain tarikh temu janji mereka selepas hari raya.

“Mula-mula memang gementar tapi bila dah selesai cucuk semuanya tiada masalah hanya rasa kebas sahaja pada lengan.

“Petugas kesihatan pun pesan supaya kemas kini sebarang gejala yang dialami menerusi aplikasi MySejahtera.

“Apa pun Alhamdulilah kerana saya sudah selesai dos pertama kerana kalau ikut kategori umur saya ini mungkin lambat lagi lah hendak dapat vaksin mengikut fasa yang ditetapkan sebelum ini,” ujarnya.

Pada Ahad, permohonan untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca, menerusi vaksincovid.gov.my ditutup dalam tempoh kurang empat jam apabila kesemua 268,800 dos habis ditempah individu yang layak.

Pelalian berkenaan ditawarkan kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan menetap sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur, manakala proses suntikan pelalian dijalankan di empat PPV khas mulai hari ini.

PPV berkenaan merangkumi WTCKL, Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya (UM) dan Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – Malaysia Gazette