Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin didesak agar tidak ‘tutup mata’ dalam isu membabitkan kes seorang guru lelaki yang didakwa membuat jenaka berbaur lucah di hadapan pelajar semasa sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Radzi pernah membuat kenyataan untuk mengambil tindakan, namun siasatan segera tidak langsung digembleng oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sampai sekarang nampak lengang, tidak ada satu kenyataan tegas daripada KPM, ini saya kecewa.

“Ini ada masalah dan kita akan siasat segera dan ambil tindakan, kalau ada kes jenayah polis perlu bertindak.

“Menteri Pendidikan jangan tidur, kena siasat segera. Saya sebagai datuk dan bapa, saya tidak pandang hal ini ringan, beri ruang dan biar terangkan dan pertahan kebenaran.

“Kalau kita tidak pertahan akhlak dan adab apa pendidikan ini,” katanya dalam siaran langsung Facebook bersama Ain Husniza Saiful Nizam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, budaya negatif ini perlu dihentikan dan perlu titik noktah.

“Ini bukan budaya Malaysia dan bukan budaya kemanusiaan untuk mempermainkan soal ini, kita patut manfaatkan keberanian Ain ini untuk mengangkat kesedaran.

“Jangan risau kalau ada satu, dua atau 200 pandangan yang negatif tapi tak semestinya mereka betul,” katanya lagi.

Ain yang berusia 17 tahun sebelum ini kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki terbabit yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.

Perkara itu didedahkan Ain dalam satu video berdurasi 59 saat yang mendedahkan kejadian tersebut berlaku ketika kelas pendidikan jasmani.

Menurut Ain, topik perbincangan adalah berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Radzi pada minggu lalu berkata pihaknya akan tindakan tegas terhadpa guru berkenaan dan tidak akan bertoleransi terhadap dakwaan kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast