Jawahar Ali

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) merayu kerajaan supaya memberi kelonggaran dengan membenarkan restoran beroperasi dengan had dua pelanggan setiap meja.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuasa hari ini, ia memberi kesan tidak baik kepada semua restoran.

Katanya, dengan PKP, ahli PRESMA tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu dan menjejaskan sumber pendapatan.

“Namun, apabila kerajaan membenarkan beroperasi, pengusaha restoran dapat menarik nafas lega kerana dapat menjalankan perniagaan seperti biasa biarpun pendapatan merosot dengan teruk.

“Tetapi, dengan PKP semula hari ini, kita merayu kepada kerajaan untuk memberi kebenaran restoran beroperasi dengan had dua orang setiap meja.

“Dengan cara ini, peniaga yang terjejas dapat menjana pendapatan melalui operasi perniagaan berbanding secara pandu lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Jawahar Ali, setakat ini tidak ada kluster restoran terutama di Lembah Klang yang menyumbang kepada peningkatan dan penularan kes Covid-19.

bahkan, kata beliau, seperti biasa, pematuhan SOP akan menjadi keutamaan semua ahli PRESMA dalam usaha membendung jangkitan Covid-19.

Selain itu, PRESMA juga mencadangkan agar suntikan vaksinasi di kawasan zon merah dan kawasan tersasar dipercepatkan.

“Ini bagi membantu mencegah penularan lebih drastik berlaku, selain mengurangkan keresahan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Benarkan operasi restoran dengan had 2 orang semeja – PPMM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast