Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Gara-gara memuat naik status di Instagram Story meluahkan rasa syukur kerana berpeluang mengumpul pahala, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikecam netizen susulan penganjuran majlis tahnik anak keduanya yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menerusi status itu, Siti meluahkan dia sepatutnya gembira apabila ditimpa dugaan namun berlaku sebaliknya.

“Alhamdulillah, saya patut tengah seronok ni, kumpul pahala banyak-banyak sepuluh malam terakhir ni.

“Kata Ustaz bila berhadapan dengan dugaan ini. Dapat pahala free (percuma) berganda-ganda pula itu. Alhamdulillah,” tulisnya.

Berikutan itu, ada segelintir netizen kecewa dan mempertikaikan tindakan Siti yang berkongsi status berkenaan.

Mereka berpendapat, selepas memuat naik kenyataan rasmi dalam media sosialnya mengenai isu penganjuran majlis tahnik itu, Siti tidak sepatutnya berkongsi sebarang perkara berkaitan kerana boleh mengganggu sensitiviti orang ramai.

Namun ada yang mempertahankan Siti daripada terus dikecam dan memohon kepada orang ramai supaya tidak menyalahkan penyanyi itu serta memberi ruang kepadanya dan keluarga.

Sebelum ini, kecoh dalam kalangan netizen apabila majlis tahnik diadakan Siti didakwa melanggar SOP berikutan kehadiran pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang didakwa merentas negeri.

Susulan itu, Siti menjelaskan tidak berlaku pelanggaran SOP seperti didakwa banyak pihak.

Dalam kenyataan sama, Siti memohon maaf dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Semalam, polis sudah mengambil keterangan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selaku penganjur majlis berkenaan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast