KUALA LUMPUR – Kali terakhir penyanyi terkenal, Stacy muncul dengan lagu bergenre balada ialah pada tahun 2012 iaitu sembilan tahun yang lalu menerusi lagu Pelangi Senja.
Selepas itu, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam lebih banyak melancarkan lagu bergenre rancak sesuai dengan gelarannya sebagai Ratu Tari Malaysia.
Namun, tahun ini Stacy bakal mengulangi kegemilangan lagu balada, Pelangi Senja dan Kisah Dongeng yang dikeluarkan sebelum ini apabila muncul dengan lagu berentak balada terbaru berjudul Peluk.
Lagu ciptaan Bunga Cantik iaitu dirinya sendiri dan lirik oleh Hang Nadim (Akim) dan diterbitkan oleh Nova Music itu adalah karya yang cukup istimewa di mana dia telah memberikan sepenuh jiwa ke dalam lagu ciptaannya itu.
“Selepas sembilan tahun tak keluar lagu balada, Alhamdulillah tahun ini saya melancarkan single Peluk. Kebetulan awal tahun ini pihak Nova Music menawarkan projek rakaman yang memerlukan lagu bergenre balada.
“Bagi saya, lagu Peluk ini sangat istimewa sebab saya cipta dan nyanyikan sendiri selain bekerjasama dengan Akim sebagai penulis lirik lagu.
“Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu bergenre balada, memang gementar dan ia sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja yang mana waktu itu saya masih bujang. Tapi, untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan ‘feel’. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. ‘Feel’ itu sangat dekat,” katanya.
Menurut Stacy yang juga isteri kepada penyanyi popular, Akim Ahmad, single Peluk adalah buah tangan buat peminat yang sudah lama mahukan dirinya menyanyikan single bergenre balada.
“Sesekali bertukar genre apa salahnyakan? Lagi pula projek ini memang menarik. Jadi kenapa tak untuk saya terima. Dalam masa sama, projek ini juga buka ruang kepada saya. Peminat pun sudah lama tunggu dan rindukan lagu balada daripada saya.
“Selain menganggap lagu Peluk ini sesuatu yang istimewa, lagu ini juga memberikan cabaran tersendiri buat saya. Ketika proses rakaman, saya kena faham betul-betul lirik dan melodi. Malah, lirik pun ada pertukaran pada saat akhir. Lagu ini juga antara paling lama dirakam iaitu dalam empat ke lima jam juga. Kebiasaannya dalam dua jam saja,” katanya.
Dalam masa sama, Stacy terharu dan teruja apabila single Peluk itu dilancarkan serentak dengan single, Bayang nyanyian suaminya, Akim Ahmad.
Lebih menarik apabila, jumlah tontonan kedua-dua video lirik rasmi lagu Peluk dan Bayang yang dimuat naik di saluran YouTube Nova Music Videos sejak seminggu lalu saling bersaing.
“Ini pertama kali saya dan Akim keluar lagu serentak. Akim pula selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret baru muncul dengan single solo, dan saya pula kembali menyanyikan genre balada. Apa yang saya boleh cakap pada peminat, beza dan istimewanya lagu ini kepada saya adalah kerana inilah kali pertama saya menyanyikan lagu balada dengan seluruh feel.
“Saya menyanyi dari dalam jiwa. Itu yang membuatkan saya sampai menangis. Tak dinafikan, menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan feel yang berbeza. Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu.
“Apabila saya mulakan rakaman dan letakkan ‘feel’ dalam lagu ini baru dapat rasa. Pendek kata, lagu ini cukup dekat dengan karakter diri sendiri,” luahnya mengakhiri kata.
Single terbaharu Peluk adalah terbitan Nova Music dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital mulai tarikh tersebut.
Lirik video rasmi single tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos https://youtu.be/oagiHXD_2Dk . – MalaysiaGazette