PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum menerima sebarang maklumat dari kerajaan Arab Saudi berhubung larangan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai situasi tersebut dalam masa terdekat.
“Buat masa ini saya tak dapat nak maklumkan bila jangkaan keputusan ini akan diperolehi.
“Belum lagi, nanti saya akan dapatkan makkumat dalam masa terdekat. Insyallah,” katanya.
Untuk rekod, ini adalah tahun kedua rakyat Malaysia tidak dapat menunaikan ibadah haji seandainya kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkenaan.
Pada tahun lepas, kerajaan memutuskan menangguhkan ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 ke tahun hadapan.
Keputusan tersebut dimaklumkan oleh Zulkifli pada 11 Jun tahun lalu selepas mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, keputusan itu juga diambil berdasarkan taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang,pada 9 Jun.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dana Maybank Mixed Assets-I Waqf di Lobi Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn Bhd, Ahmad Najib Nazlan dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said.
Dana Maybank Mixed Asset-I Waqf diwujudkan bagi penjanaan pendapatan dan pertumbuhan modal dalam tempoh jangka sederhana dan panjang melalui pelaburan dalam portfolio pasaran sukuk, ekuiti patuh syariah dan menyalurkan sebahagian daripada pendapatan bagi tujuan wakaf.
Dana wakaf yang diterima akan diagihkan kepada projek wakaf yang telah dikenalpasti diseluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf dinegeri masing-masing. – MalaysiaGazette