Para pelajar beratur untuk menaiki bas bagi pulang ke kampung halaman pada Ops Perantau sempena Hari Raya Aidilfitri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

GOMBAK – Para penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mula meninggalkan kolej kediaman masing-masing secara berperingkat bermula hari ini sehingga Rabu setelah kerajaan bersetuju membenarkan mereka pulang bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Rata-rata pelajar melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kebenaran yang diberikan setelah lebih dua bulan tidak bersua muka dengan keluarga.

Bagi pelajar jurusan Kejuruteraan Pembuatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Mohamad Fakhrurazzi Mohd Ali, 25, dia sememangnya teruja untuk pulang ke kampung halaman setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Temubual bersama pelajar, Mohamad Fakhrurazzi Mohd Ali, 25 pada Ops Perantau sempena Hari Raya Aidilfitri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

Mohamad Fakhrurazzi yang juga merupakan Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang UAIM itu berkata, sejurus pengumuman tersebut, dia mula menjalankan tugas mengumpul maklumat rakan-rakan senegeri yang akan pulang bagi memudahkan urusan pihak universiti.

“Apabila diberikan peluang untuk pulang ke kampung memang rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Kita juga bantu kumpulkan maklumat pelajar dari negeri Pahang dan serahkan kepada pengurusan agar kerja penghantaran pelajar menjadi lebih mudah dan teratur.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan, marilah kita sedaya upaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang telah ditetapkan sepanjang menyambut hari raya supaya dapat mengelakkan daripada dijangkiti virus Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita pada Op Perantau UAIM di Pusat Kebudayaan UAIM Kampus Gombak hari ini.

Bercerita lanjut, Mohamad Fakhrurazzi berkata, selepas selesai membantu menguruskan rakan-rakan lain barulah dia akan memandu kenderaan sendiri pulang ke kampungnya di Mentakab, Pahang.

Jelasnya, bagi pelajar yang pulang menaiki kereta, mereka akan dibekalkan dengan surat kebenaran dari pihak universiti dan perlu menyediakan salinan kad pengenalan serta kad pelajar untuk ditunjukkan kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya.

Manakala bagi pelajar jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris, Nurul Aliah Mohd Fauzan, 21, dia berasa risau pada mulanya setelah terfikir kemungkinan tidak dapat pulang untuk berhari raya bersama-sama keluarga.

Temubual bersama pelajar, Nurul Aliah Mohd Fauzan, 21 pada Ops Perantau sempena Hari Raya Aidilfitri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

“Alhamdulilah dapat juga kami balik beraya kali ini dan ada pula rezeki dapat tajaan dari Yayasan Pahang yang menanggung kos perjalanan, jadi memang tak sabar dan teruja untuk sampai ke rumah.

“Ini kerana pada mula-mula pulang ke kampus Mac lalu, memang kami dimaklumkan bahawa ada kemungkinan tidak boleh balik dan sebagainya tapi apa pun memang syukur sangat lah,” ujarnya yang akan pulang berhari raya di Kuantan, Pahang.

Temubual bersama pelajar, Zawanil Aqelah Zainal Abidin, 22 pada Ops Perantau sempena Hari Raya Aidilfitri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

Sementara itu, pelajar jurusan Pendidikan, Zawanil Aqelah Zainal Abidin, 22, berkata, cuti hari raya kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meluangkan masa bersama keluarga di Jerantut, Pahang.

“Lebih 10 minggu berada di sini jadual memang padat dengan sesi pembelajaran, jadi ketika cuti ini selain luangkan masa bersama keluarga kena juga siapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Kami akan pulang semula ke kampus pada 17 Mei sama ada dengan menaiki kenderaan yang disediakan oleh UAIM atau pun dihantar oleh ibu bapa masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Libat Sama Komuniti UAIM, Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan, seramai 4,062 pelajar akan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini sehingga Rabu.

Temubual bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Libat Sama Komuniti, Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan pada Ops Perantau sempena Hari Raya Aidilfitri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut seramai 796 orang pelajar UAIM akan dihantar secara berperingkat membabitkan kampus Gombak; Kuantan dan Gambang, Pahang; Kuala Lumpur dan Pagoh, Johor manakala selebihnya pulang menaiki kenderaan sendiri atau dijemput ibu bapa.

“Hari ini kumpulan pertama seramai 287 pelajar dari kampus Gombak dihantar melalui Zon Timur meliputi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Untuk kumpulan kedua pula ia membabitkan 209 pelajar yang akan bergerak pulang esok ke Zon Utara iaitu negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Sementara Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor) pula pada lusa iaitu seramai 88 pelajar,” ujarnya.

Pada 29 April, Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara bersetuju membenarkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidlilfitri kecuali Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast