KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil kira-kira 15 individu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, penceramah agama dan penganjur majlis tahnik anak penyanyi nombor satu negara itu setakat ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa individu lain yang didapati hadir pada majlis tersebut.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis. Sehingga kini 15 individu (termasuk tuan rumah/penganjur/VVIP/penceramah) telah panggil berikan keterangan.
“Kes sedang dikemaskini sebelum akan dirujuk ke YA TPR untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, polis membuka kertas siasatan terhadap penganjuran majlis tahnik anak Siti Nurhaliza yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Mohamad Farouk, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 susulan satu laporan polis dibuat berkaitan isu tersebut.
Isnin lalu, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memohon maaf sekiranya penganjuran majlis tahnik anak lelaki mereka, Muhammad Afwa pada 26 April lalu telah menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat.
Siti Nurhaliza dan Khalid juga memaklumkan atur cara dan bilangan tetamu yang diundang mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu.
Antara yang dapat dilihat di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain. – MalaysiaGazette