Zikrullah menunjukkan mendakan logam berat dari sisa rawatan air LRA Sungai Dua disalurkan ke Sungai Perai di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menafikan dakwaan Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua, Seberang Perai membuang sisa rawatan air yang boleh membahayakan kesihatan manusia dan akuatik di Sungai Perai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, kandungan sisa rawatan air yang dibuang dari LRA Sungai Dua ke anak Sungai Perai itu tidak beracun.

Selain itu, Jaseni turut menjelaskan LRA Sungai Dua bukan satu-satunya LRA dalam negara yang membuang sisa air ke sungai.

“Mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan LRA di Malaysia menghasilkan sebanyak 5,500 tan metrik sisa air setiap hari.

“Berdasarkan hasil ujian dan penemuan dari kajian yang dilakukan terhadap sisa air di negara ini mendapati keputusannya  tidak berbahaya, malah fakta ini turut disokong beberapa negara lain.

LRA Sungai Dua beroperasi sejak 1973.

“Tambahan pula, menurut kajian bersama MWA dan UTM pada 2008, sisa air tidak disenaraikan sebagai ‘sisa berjadual’ oleh pihak berkuasa pengurusan alam sekitar di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom,” katanya satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, LRA Sungai Dua beroperasi sejak 1973 dan sepanjang tempoh 48 tahun tiada insiden pencemaran air yang dilaporkan di Sungai Perai disebabkan oleh pembuangan sisa air.

Tambah beliau, kandungan utama sisa air adalah sisa aluminium yang terhasil dari penggunaan ‘aluminium sulfat’ atau ‘polyaluminium klorida‘ untuk proses pembekuan dalam rawatan air konvesional.

“Jika sisa air berbahaya bagi persekitaran akuatik maka tidak akan ada ikan di Sungai Perai. Selain itu, kita juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menangangi sisa air bagi memastikan kelestarian Sungai Perai,” ujar Jaseni.

Terdahulu, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) melahirkan kebimbangan serius berhubung mendakan logam berat disalur masuk ke Sungai Perai daripada LRA Sungai Dua.

Pengerusinya, Zikrullah Ismail mendakwa hasil penelitian rambang pihaknya mendapati LRA Sungai Dua beroperasi tanpa kolam takungan enap cemar.

Zikrullah.

Kata Zikrullah, pencemaran enap cemar itu bukan saja menjejaskan Sungai Perai malah menjejaskan Sungai Merbau Kudong dan Sungai Perai Mati.

“Kita gesa kerajaan negeri untuk menyelaraskan semua agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi segera.

“Selain itu, kita juga minta PBAPP untuk memberi penjelasan segera tentang sisa rawatan air dari LRA kebiasaannya mengandungi logam berat aluminium yang dikategorikan sebagai sisa berjadual dalam kategori Jadual Pertama Buangan Terjadual SW204, mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005 di bawah Akta 127,” katanya. – MalaysiaGazette