KUALA LUMPUR – Kaedah pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) COVID-19 secara sukarela dan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat” juga wajar diberikan bagi suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Malah, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata ia boleh ditawarkan kepada semua warganegara dan penduduk di negara ini dari semasa ke semasa sebagai program tambahan kepada pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca.

Katanya, cadangan ini seharusnya dikawal selia oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berdasarkan stok yang ada tanpa menjejaskan kumpulan rentan.

“Cadangan vaksinasi secara ad-hoc dari semasa ke semasa dapat dikendalikan oleh hospital swasta berdasarkan janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata usaha yang dijalankan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang menawarkan kepada orang ramai untuk mendaftar secara sukarela dan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bagi suntikan vaksin AstraZeneca, telah mendapat sambutan menggalakkan walaupun terdapat kemungkinan berlakunya komplikasi pembekuan darah yang dilaporkan di tempat lain di dunia.

“Kami menyarankan agar digunakan metodologi serupa iaitu memberi pilihan untuk sejumlah vaksin Pfizer-BioNTech dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada masyarakat tanpa mengikuti fasa yang ditetapkan,” katanya.

Dr Kuljit juga memaklumkan bahawa usaha ini akan sangat membantu individu yang memerlukan vaksin lebih awal dalam melakukan perjalanan antarabangsa dan untuk petugas barisan ekonomi lain, terutamanya ketika peningkatan kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini selain potensi penyebaran varian baharu.

Sebelum ini, dilaporkan pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca COVID-19 secara sukarela akan diperluaskan setelah semua 268,000 slot temu janji dipenuhi hanya dalam tempoh tiga jam, selepas pendaftaran dibuka, Ahad lepas.

— BERNAMA