Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette AstraZeneca vaccine vaccination senior citizens registration
Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari berdasarkan pemantauan dilakukan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, penyenaraian lokasi serta premis ini amat penting dan wajar dilakukan memandangkan bilangan kes-kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh hari lalu, sebanyak 23,712 kes baharu positif Covid-19 telah dicatatkan manakala kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) telah meningkat sebanyak 21 peratus berbanding minggu sebelum ini.

“Penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan (preemptive) dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.

“Antara intervensi awal yang dilakukan adalah menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera; kawalan pergerakan pengunjung/pelawat dengan lebih ketat; menghalang kemasukan pengunjung/pelawat dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera; mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah; serta melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairy memaklumkan, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju untuk mengeluarkan senarai lokasi serta premis berisiko yang dikenalpasti oleh sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebagai lokasi titik panas penularan Covid-19.

Jelasnya, perkongsian senarai lokasi itu bertujuan untuk membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19.

Selain itu katanya, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan Covid-19.

Justeru, Khairy menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang disenaraikan dan sekiranya masih perlu mengunjungi lokasi atau premis tersebut, patuhi garis panduan yang telah ditetapkan serta sentiasa mengamalkan budaya normal baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast