palm oil benefits

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatatkan pembetulan teknikal minggu depan selepas kenaikan yang kukuh baru-baru ini.

Semalam, niaga hadapan MSM mencecah paras tertinggi baharu melebihi RM4,400 satu tan untuk kontrak penanda aras Julai.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa mengunjurkan gabungan aktiviti pengambilan untung, dagangan berhati-hati dan pembetulan harga dalam minggu dagangan paling pendek pada tahun ini dengan hanya dua setengah hari.

“Dagangan akan berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran niaga hadapan MSM Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi sejajar dengan prestasi minyak kacang soya yang kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) Amerika Syarikat, selain kebimbangan mengenai pengeluaran rendah di negara ini.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM adalah tinggi, dengan Mei 2021 naik RM475 kepada RM4,883 satu tan, Jun 2021 dan Julai 2021, masing-masing meningkat RM559 kepada RM3,678 satu tan dan RM4,427 satu tan, manakala Ogos 2021 menambah RM514 kepada RM4,217 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 281,343 lot daripada 233,335 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 277,416 kontrak daripada 258,464 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan naik RM410 kepada RM4,830 satu tan. – MalaysiaGazette