KUALA LUMPUR – Hanya linangan air mata membasahi pipi seorang warga emas sebagai tanda terima kasih atas sumbangan yang diterima menerusi Program MalaysiaGazette (MG) Prihatin 2021.
Che Aziz Che Soh, 61, yang menerima kunjungan rombongan MalaysiaGazette di perkampungan setinggan di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur sebak dan menitiskan air mata tatkala penyerahan sumbangan dilakukan.
Menurutnya, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan kesyukuran kerana ada yang sudi hadir menghulurkan bantuan menjelang Aidilfitri minggu depan.
“Saya berterima kasih kepada penyumbang di atas keprihatinan semua dan sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya sekeluarga kerana saya sudah tidak mampu untuk melakukan pekerjaan sejak diserang strok beberapa bulan lalu,” katanya.
“Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa baik semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Che Aziz antara 15 keluarga yang terpilih menerima sumbangan yang diterima menerusi Program MG Prihatin 2021.
Seorang lagi warga emas, Misna Midi turut meluahkan rasa syukur kepada Program MG Prihatin yang menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepadanya.
Dia yang tidak bekerja berkata, sumbangan yang diterima memberikan kegembiraan kepada dirinya dan keluarga menjelang Syawal tidak lama lagi.
“Saya bersyukur kerana ramai yang sudi membantu golongan seperti kami.
“Terima kasih banyak dengan bantuan diberikan yang dapat meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, pelbagai syarikat korporat, swasta dan individu tampil menghulurkan sumbangan kepada program MG Prihatin 2021 menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Mendahului senarai penyumbang, Tenaga Nasional Berhad yang komited meneruskan program CSR dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM10,000.
Antara penaja lain adalah Adabi Consumer Industries Sdn Bhd yang berbesar hati menyumbangkan sebanyak 80 kotak produk keluaran mereka bernilai RM5,000.
Tidak ketinggalan, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang menaja 50 kampit beras untuk bersama-sama menyertai Program MG Prihatin ini.
Ini merupakan tahun ketiga Bernas bekerjasama dengan MG untuk menjayakan program CSR itu.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menaja minyak masak bernilai RM3,000.
Manakala MSM Malaysia Holdings Berhad pula menyumbang gula.
Penaja lain adalah bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy dan syarikat produk pewangi pelbagai guna jenama Bliese, selain parti politik seperti MCA dan Gerakan.
Turut menyalurkan sumbangan ialah Wan & Wan Resources serta individu lain termasuk kakitangan MG menerusi sumbangan peribadi.
Sementara itu, agihan bantuan berbentuk wang tunai dan barang keperluan dapur itu disasarkan kepada keluarga dalam golongan B40, fakir miskin dan mereka yang terdesak memerlukan sumbangan.
Program MG Prihatin 2021 akan menjelajah keluarga di kawasan Bandar Tun Razak bermula hari ini selama tiga hari.
MalaysiaGazette masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan daripada individu-individu dan syarikat korporat yang mahu bersama-sama menyertai MG Prihatin.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MalaysiaGazette di talian 03-9054 6842. – MalaysiaGazette