KUALA LUMPUR – Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan pasukan polis Israel membaling bom gas pemedih mata serta mengganggu jemaah yang sedang bersolat di pekarangan Masjid al-Aqsa, Palestin baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menjelang 10 malam terakhir Ramadan merupakan malam penuh barakah dan suci bagi umat Islam yang berpuasa.
Kata beliau, perbuatan polis Israel itu bukan sahaja kejam, tetapi tidak menghormati budaya dan bulan suci umat Islam seluruh dunia.
“Perbuatan ini hanya mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi pada saat dunia perlu bersatu memenangi cabaran pandemik Covid-19.
“Parti Amanah menggesa Israel menghentikan tindakan kejam ini dan memberi jaminan keselamatan serta keamanan bagi umat Islam yang melakukan ibadah di Masjid al- Aqsa sepertimana telah dinyatakan pendirian Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Kelmarin, ketika umat Islam Palestin sedang beribadah di Masjidil al-Aqsa, Baitulmaqdis, pihak berkuasa Israel menyerang dan mengusir mereka keluar menggunakan shock bombs dan gas pemedih mata.
Kira-kira 170 orang tercedera dan puluhan dimasukkan ke Hospital di Baitul Maqdis, Jerusalem. – MalaysiaGazette