Amalan harian dan ibadah kembali normal dengan peraturan yang ditetapkan. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Badan pengurusan haji negara, Tabung Haji (TH) menasihatkan bakal-bakal haji agar bersedia untuk dipanggil sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar menunaikan ibadah itu tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan bahawa ibadat haji akan diteruskan tahun ini dengan syarat kepada pematuhan semua piawaian dan peraturan kesihatan, keselamatan serta pengawalseliaan dalam usaha memelihara kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga menegaskan bahawa pihak berkuasa kesihatan di negara itu akan terus menilai dan mengambil segala langkah untuk memastikan kesihatan para jemaah haji terjaga dan butiran pelan kawalan serta operasi untuk musim haji tahun ini akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pihaknya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penganjuran ibadah haji pada tahun ini.

Lapor Saudi Gazette, jurucakap kementerian itu, Hisham Saeed berkata, Arab Saudi bersedia untuk menerima kunjungan semua jemaah dari seluruh dunia bagi menunaikan haji.

Namun, kementerian tersebut memberi keutamaan kepada keselamatan jemaah susulan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH telah memulakan persiapan awal sejak tahun lalu dengan mengambil kira setiap prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasinya samaada di tanah air mahupun di Arab Saudi.

“Walaupun persediaan telah dibuat, Kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan tahun ini.

“TH akan memaklumkan perkembangan terbaharu sebaik sahaja mendapat pengumuman rasmi berkaitan kuota haji, kriteria jemaah dan syarat-syarat utama yang harus dipatuhi oleh semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadat tersebut,” tambah beliau lagi.

Justeru itu, semua bakal haji disarankan untuk membuat persiapan sewajanrya untuk melakukan rukun Islam kelima itu kelak.

Katanya, persiapan dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan perlu bagi memastikan ibadah itu berjaya dilaksanakan dengan sempurna disebalik penularan Covid-19.

TH juga berharap bakal jemaah haji juga bersedia mengambil suntikan wajib meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya proses pengambilan vaksin memenuhi sela masa ditetapkan. – MalaysiaGazette