Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam proklamasi darurat sepenuhnya untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan dilihat teragak-agak dan tidak tegas malah bimbang dengan kecaman serta kritikan terhadap mereka.

“Untuk menyelamatkan nyawa rakyat, kerajaan perlu melakukan apa sahaja yang perlu walaupun tindakan-tindakan dan langkah-langkah tersebut tidak popular.

“Selepas lima hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan di Lembah Klang dan beberapa daerah lain, namun tidak kelihatan perbezaan drastik berbanding PKP 2.0 dan PKP 1.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata, kerajaan hari ini seolah-olah lebih mementingkan kelangsungan politik selepas darurat berakhir.

“Kami berharap kerajaan perlu membuat keputusan yang mana satu perlu diutamakan, survival politik atau menyelamatkan nyawa?

“Sekiranya keadaan menjadi seperti di India maka akan berlaku tindak balas daripada rakyat dan jika diadakan pilihan raya umum kerajaan hari ini akan tumbang,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya pandemik ini dapat dikawal dengan jayanya, maka rakyat sudah tentu akan berterima kasih kepada kerajaan dan ini akan diterjemahkan pada peti-peti undi.

“Mereka yang mengecam dan mengkritik akan terus mengecam dan mengkritik walau apa sahaja dilakukan oleh kerajaan. Nyawa rakyat itu lebih penting daripada memuaskan hati mereka.

“Darurat telah diisytiharkan. Pelbagai perintah kawalan telah diumumkan. Pastikan ia dikuatkuasakan dengan tegas dan adil iaitu kepada setiap rakyat Malaysia tanpa ada pilih kasih.

“Biarkan mereka yang mencari nombor terus mencari nombor, biarkan pakar-pakar terus bersyarah di dalam TikTok dan biarkan haters terus dengan pelbagai hashtag. Kerajaan perlu lakukan yang betul dan bukan popular,” katanya lagi. – MalaysiaGazette